Ahli Bersatu diseru perkukuh perpaduan, tutup ruang perpecahan
- nabalunews
- Jan 2
- 1 min read

2 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru seluruh ahli parti itu agar memperkukuh kerjasama, memperteguh perpaduan dan menutup segala ruang yang boleh mencetuskan perpecahan dalam parti.
Bekas Perdana Menteri itu juga menegaskan, beliau masih menerajui Bersatu sebagai Presiden dan meskipun beliau tidak lagi memimpin Perikatan Nasional (PN), parti itu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam gabungan berkenaan.
Menurutnya, kerjasama antara parti dalam gabungan itu akan terus dipelihara demi memastikan kestabilan dan kekuatan PN.
"Dalam menghadapi cabaran semasa, keutamaan kita adalah memastikan kelangsungan, kekuatan dan masa depan parti.
"Ada ketikanya kita perlu mengambil satu langkah ke belakang, bukan sebagai tanda kelemahan tetapi sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan asas, menyusun barisan kepimpinan dan membina kekuatan parti yang lebih tersusun serta mampan," katanya menerusi Facebook, hari ini.
Selasa lalu, Muhyiddin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa semalam ,1 Januari 2026, selepas lima tahun menerajui gabungan itu, susulan kemelut politik di Perlis.
Pengumuman Muhyiddin mencetuskan siri peletakan jawatan oleh pengerusi Bersatu negeri, termasuk Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Pengerusi PN Selangor dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, selaku Pengerusi PN Perak.
Turut melepaskan jawatan ialah Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker dan Pengerusi PN Johor, Dr Sahruddin Jamal.


















Comments