AHLI FARMASI MOHON DIPERTIMBANG JADI PENERIMA VAKSIN FASA 1 PICKAHLI FARMASI MOHON DIPERTIMBANG JADI PENERIMA VAKSIN FASA 1 PICK
top of page
  • nabalunews

AHLI FARMASI MOHON DIPERTIMBANG JADI PENERIMA VAKSIN FASA 1 PICK



5 Mac 2021


KUALA LUMPUR: Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) dapat mempertimbangan ahli-ahli farmasi komuniti sebagai antara kelompok penerima vaksin dalam Fasa 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).


Presidennya Amrahi Buang berkata ahli farmasi wajar menjadi antara kumpulan terawal menerima vaksin COVID-19, memandangkan mereka juga terdedah kepada virus COVID-19 yang dibawa pelanggan dan pesakit yang berkunjung ke farmasi komuniti.



“Ahli-ahli farmasi komuniti wajar diutamakan bagi pemberian vaksin COVID-19 dalam Fasa 1 PICK memandangkan perkhidmatan daripada ahli farmasi komuniti sangat diperlukan orang awam termasuk semasa negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Sebelum ini, katanya MPS telah mengutus beberapa surat kepada kerajaan khususnya kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berhubung isu itu, namun setelah senarai diputuskan, ahli-ahli farmasi telah diketepikan.


“Ini sesuatu yang sangat mengecewakan kerana sumbangan ahli-ahli farmasi komunti di dalam komuniti setempat adalah sangat penting,” katanya.


Beliau berkata sumbangan ahli farmasi dalam program vaksinasi di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, negara-negara Kesatuan Eropah (EU), New Zealand, Australia dan Kanada sangat ketara, malah di Filipina sendiri ahli-ahli farmasi komuniti turut dibenarkan menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam program itu.


- Bernama


bottom of page