top of page

Ahli Parlimen Belia Malaysia turun padang laksanakan program komuniti di SK Kokol

nabalunews

12 November 2024


KOTA KINABALU : Program perpaduan sosial dan khidmat komuniti Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Sabah telah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Kokol, Kota Kinabalu pada 9 November lalu.


Program yang berlangsung dari jam 7.30 pagi hingga 1 petang ini dijayakan oleh Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Sabah, melibatkan pegawai pemantau Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan, pegawai dan staf Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), Ahli Dewan Belia Sabah, warga Pendidik SK Kokol dan ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.


Ia melibatkan pelbagai aktiviti seperti bergotong royong membersihkan dan memperindahkan kawasan sekolah.


Program ini melambangkan kejayaan konsep "Belia Bersama Masyarakat" melalui pelaksanaan program komuniti oleh Ahli Parlimen Belia Malaysia yang turun padang di kawasan luar bandar, yang menghubungkan pelbagai lapisan masyarakat.


Kerjasama yang erat antara pelbagai pihak turut menyumbang kepada keberkesanan dan impak positif program ini.


Inisiatif oleh Presiden Majlis Belia Daerah Telupid merangkap Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Sabah, Emmanuel Atin bersama rakan-rakan Ahli Parlimen Belia yang lain, telah membuktikan kepentingan kepimpinan belia masa kini dalam memperkasakan perpaduan serta semangat kesukarelawanan dalam komuniti.


Usaha ini memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menyemai nilai kerjasama dan keprihatinan antara satu sama lain.


Kerjasama erat antara JBS Persekutuan, KBSS Negeri Sabah, pihak sekolah, dan PIBG menjadi pemangkin kepada kejayaan program ini.


Kesimpulannya, kesatuan dan kebersamaan dalam komuniti adalah asas perpaduan yang menjadi tunjang kemakmuran serta keharmonian negara.

Comments


bottom of page