top of page

Ahli Parlimen Kudat Ingatkan Masyarakat Waspada Berita Palsu

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 1 min read

ree

21 Ogos 2025


KUDAT: Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda mengingatkan masyarakat supaya berwaspada terhadap penyebaran berita palsu dan spekulasi di media sosial yang boleh menjejaskan keharmonian kaum serta perpaduan di daerah ini.


Beliau berkata, terdapat pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung isu-isu sensitif, termasuk kes buli yang sedang mendapat perhatian masyarakat.


“Jika tidak pasti tentang kesahihan sesuatu maklumat, jangan kongsikan kerana ia boleh memudaratkan. Biarlah proses undang-undang berjalan dan kita rujuk hanya kepada saluran rasmi seperti kementerian atau pihak berkuasa,” katanya ketika berucap pada sambutan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 peringkat Daerah Kudat di Dataran Tomborungus, pada petang Khamis


Verdon menegaskan, rakyat tidak seharusnya terikut-ikut dengan budaya negatif yang boleh mengapi-apikan hubungan sesama kaum dan agama, terutama di Kudat yang didiami lebih 10 etnik berbeza.


Beliau dalam masa sama menyatakan sokongan terhadap penganjuran KMJG oleh Jabatan Penerangan Malaysia yang menjadi platform tahunan untuk menyemarakkan semangat patriotisme serta memperkukuh perpaduan rakyat di seluruh negeri.


Katanya, konvoi ini bukan sahaja membawa mesej kemerdekaan ke seluruh pelosok negeri, malah berperanan merapatkan hubungan antara agensi kerajaan persekutuan dan negeri dengan masyarakat di peringkat akar umbi terutama di kawasan luar bandar.


Acara KMJG 2025 yang disertai 20 agensi mengakhiri perjalanan hari ke 18 di Dataran Toborungus dan berbaki dua hari sebelum hentian terakhir yang akan berlangsung di daerah Tuaran dan akan di rasmi oleh Ketua Menteri Sabah pada 23 Ogos ini.


Hadir sama Ketua Polis Daerah Kudat Superintenden Mohd Harris Ibrahim serta Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor selaku Ketua Konvoi KMJG Sabah 2025.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page