top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ahli Parlimen Pensiangan harap Kerajaan Negeri setuju naik taraf Sook ke daerah penuh


28 Februari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Kurup berharap agar Kerajaan Negeri dapat bersetuju untuk menaik taraf Daerah Kecil Sook menjadi daerah penuh berdasarkan dapatan kajian yang telah dibentangkan oleh Institute For Development Studies (IDS Sabah).


Menurut Arthur, kawasan Sook mempunyai potensi ekonomi yang luas dan strategik serta memerlukan pentadbiran yang kukuh untuk merealisasikan potensi tersebut.


“Antara faktor yang diambil kira dalam kajian oleh IDS Sabah adalah bilangan penduduk dan kawasan penempatan yang kian bertambah serta risiko penyampaian perkhidmatan yang berkualiti.


“Tinjauan IDS Sabah juga mendapati bahawa majoriti penduduk Daerah Kecil Sook menyokong agar Sook dinaik taraf menjadi daerah penuh.


“Sehubungan itu, saya berharap agar Jemaah Menteri Kerajaan Negeri dapat memberikan pertimbangan yang sewajarnya dan meluluskan syor tersebut demi kesejahteraan rakyat di Parlimen P.182 Pensiangan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan Sabah,” kata Arthur yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam satu kenyataan.


Jelas beliau, Daerah Kecil Sook dinaik taraf menjadi daerah penuh akan memudahkan lagi perancangan serta pelaksanaan pembangunan di kawasan tersebut.


“Kini, terdapat 22 agensi kerajaan yang sedang beroperasi di Daerah Kecil Sook dan ini bakal bertambah dengan keperluan penduduk dan urusan pentadbiran di sini. Pekan Sook juga wajar menjadi pusat tadbir utama bagi daerah ini kelak.


“Sook juga mempunyai potensi ekonomi yang sangat meluas daripada pelbagai sektor termasuklah daripada perladangan dan pertanian. Kini Daerah Kecil Sook menyumbang sekitar RM700 juta setahun kepada ekonomi dan ini bakal bertambah dengan pertumbuhan ekonomi yang sedang berlaku.


“Kedudukan strategik kawasan Sook yang berada dalam laluan utama projek-projek pembangunan di Parlimen Pensiangan seperti Jalan Sinaron ke Linayukan, Tongod dan juga laluan ke sempadan Kalimantan di Pensiangan akan membuka lebih banyak peluang dan limpahan ekonomi di kawasan ini,” katanya.


Sehubungan itu, Kerajaan perlu menyediakan pentadbiran yang kukuh yang dapat merealisasikan potensi ekonomi di kawasan Sook.


Jelas beliau, ini merupakan antara faktor yang diambil kira dalam kajian oleh IDS Sabah dan hasilnya menunjukkan bahawa Daerah Kecil Sook kini lebih daripada layak untuk dinaik taraf menjadi daerah penuh.


Sejarah pengwujudan Daerah Kecil Sook merupakan perjuangan yang direalisasikan pada tahun 1989 oleh ayah Arthur, Tan Sri Joseph Kurup untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk sekitar kawasan pedalaman seperti Mukim Sook, Tulid, Lanas dan Dalit.


Sebagai Ahli Parlimen Pensiangan yang juga menjaga Daerah Kecil Sook, Arthur bertekad untuk memperjuangkan agar daerah kecil ini menjadi daerah penuh bagi memastikan pembangunan dan kesejahteraan serta kebajikan rakyat di kawasan Sook mendapat perhatian yang lebih tertumpu.



Comments


bottom of page