top of page

Ahli Parlimen Sandakan mohon pembinaan jalan dua hala dari Batu 16 ke Batu 32, Sandakan disegerakan

  • nabalunews
  • Oct 21, 2024
  • 2 min read

21 Oktober 2024


Oleh : Wartawan Nabalu News 


SANDAKAN : Pembinaan jalan dua hala dari Batu 16 ke Batu 32 di Sandakan perlu disegerakan.


Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, pihaknya yakin Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kerja Raya (KKR) juga memahami keperluan itu sebagai usaha untuk mengurangkan kesesakan di jalan tersebut.


Katanya ketika ini Sandakan hanya mempunyai satu lorong jalan keluar masuk ke daerah itu dan jalan dari Batu 16 ke Batu 32 juga menjadi antara satu-satunya laluan kepada semua pengguna jalan raya berkenaan untuk keluar dan masuk ke daerah ini melalui jalan darat.


Vivian membuat gesaan itu sejurus bertanyakan soalan tambahan kepada Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengenai isu jalan tersebut ketika sesi soal jawab menteri pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Sidang Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.


Pihaknya turut meminta data mengenai jumlah dan jenis kenderaan yang melalui jalan tersebut.


Dalam jawapan Menteri, Alexander menyatakan, KKR telah memasukkan fasa pertama hingga fasa ketiga projek Libaran Bypass Batu 16 hingga Batu 32 Sandakan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas, di bawah pelan pusingan kelima dimana projek ini kini sedang dalam proses kelulusan agensi pusat.


Alexander berkata laluan berkenaan bukan sebahagian daripada projek Lebuhraya Pan Borneo tetapi adalah Libaran Bypass.


Sementara bagi data lalulintas di jalan itu, jelasnya, ketika ini tahap perkhidmatan jalan tersebut berada pada tahap F yang menunjukkan tahap kesesakan yang teruk, dengan kira-kira 18,851 kenderaan menggunakan laluan itu dalam tempoh 16 jam setiap hari melibatkan kereta, teksi, van, kenderaan utiliti, lori berat dan sederhana berat serta motosikal.


Dalam pada itu, Vivian turut bertanya mengenai kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan di kawasan luar bandar Sandakan selain isu penyelenggaraan lampu-lampu jalan.


Menteri memaklumkan Kementeriannya telah memperuntukkan sebanyak RM221 juta tahun ini untuk menyelesaikan masalah penyelenggaraan jalan Persekutuan yang tertangguh di Sabah, termasuk RM44.6 juta untuk 24 projek pembaikan jalan Persekutuan di Sandakan.


Manakala RM300,000 juga telah diperuntukkan pada tahun 2023 untuk kerja-kerja pembaikan lampu jalan dan jumlah ini telah dinaikkan kepada RM1.6 juta pada tahun 2024. 


Manakala sebanyak RM9.6 juta telah dipohon Jabatan Kerja Raya Sabah bagi penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat di mana kementerian akan memperuntukkan dana secara berperingkat untuk kerja-kerja pembaikan terbabit.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page