top of page
nabalunews

Ahli Parlimen Sandakan Sokong Pindaan Akta Tingkatkan Keselamatan dan Kecekapan Pengangkutan Awam



5 Disember 2024


SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, menyokong pendirian tegas Kementerian Pengangkutan (MOT) terhadap amalan agresif dan tidak profesional dalam kalangan penyedia perkhidmatan pengangkutan, terutamanya yang tidak berlesen.


Menurut Vivian, tindakan ini penting untuk melindungi pengguna daripada eksploitasi dan memastikan industri pengangkutan awam lebih selamat dan adil.


Beliau menyatakan bahawa tanpa pengawasan yang ketat, pengguna berpotensi menjadi mangsa tekanan yang tidak perlu dan layanan tidak adil.


Lebih membimbangkan, perkhidmatan tanpa lesen mencetuskan risiko keselamatan kerana kenderaan mereka tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.


“Adalah tepat pada masanya Akta ini dipinda untuk memberikan perlindungan yang lebih baik kepada orang awam dan memastikan keadilan kepada semua pihak dalam industri pengangkutan,” katanya semasa Perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024 di Parlimen.


Vivian mengutarakan kebimbangan mengenai keupayaan penguatkuasaan selepas pindaan akta tersebut diluluskan.


Beliau bertanya sama ada sumber dan tenaga kerja agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan ditambah untuk melaksanakan undang-undang baru ini dengan berkesan.


Beliau turut mencadangkan agar teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) digunakan untuk meningkatkan kecekapan penguatkuasaan.


“Keberkesanan penguatkuasaan adalah perkara utama. Kita boleh mempunyai undang-undang terbaik, tetapi tanpa pelaksanaan yang tegas, manfaatnya tidak akan dirasai oleh rakyat,” ujarnya.


Sebagai contoh, beliau menekankan cabaran sedia ada di Sabah, termasuk isu kenderaan muatan berlebihan yang merosakkan jalan raya dan mengancam keselamatan pengguna lain.


Vivian juga menyuarakan kebimbangan terhadap bas yang berhenti di tempat tidak sepatutnya dan kenderaan tanpa lesen membawa penumpang serta barangan secara haram.


Vivian menegaskan bahawa persepsi terhadap penguatkuasaan undang-undang di Malaysia perlu diperbaiki.


“Ada pepatah yang mengatakan undang-undang kita di atas kertas adalah kelas pertama, tetapi penguatkuasaan kita sering mengecewakan rakyat,” katanya.


Beliau menyeru agar kerajaan membuktikan komitmen untuk mengotakan apa yang diungkapkan atau “walk the talk” bagi melindungi hak pengguna, meningkatkan keyakinan pelabur, dan mengangkat nama Malaysia di peringkat global.


“Jika kita berjaya melaksanakan undang-undang dengan cekap, ia akan memberi kesan positif bukan sahaja kepada pengguna, tetapi juga kepada imej dan kedudukan Malaysia di mata dunia,” tambahnya.


Dengan pindaan ini, Vivian berharap sektor pengangkutan di Malaysia akan menjadi lebih selamat, cekap, dan berdaya saing.

Comments


bottom of page