Konflik Asia Barat: Operasi evakuasi berjaya bawa pulang rakyat Malaysia
- nabalunews
- 41 minutes ago
- 1 min read

11 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya melaksanakan operasi evakuasi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara Asia Barat melalui penerbangan khas Malaysia Airlines.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan berkata, penerbangan khas yang berlepas ke Jeddah pada 10 Mac 2026 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini pada 12.48 tengah hari.
"Seramai 170 orang berjaya dibawa pulang melalui operasi ini, terdiri daripada rakyat Malaysia yang berada di Jeddah dan Madinah seramai 133 orang serta sebahagian yang dipindahkan dari beberapa negara di rantau tersebut termasuk Qatar (34 orang), Syria (2 orang) dan Jordan (1 orang).
"Penerbangan ini turut membawa lima warganegara Thailand, seorang warganegara Indonesia dan seorang warganegara Morocco yang merupakan ahli keluarga kepada rakyat Malaysia yang terlibat," katanya.
Tambah kenyataan itu, operasi evakuasi diselaraskan oleh MKN, Jabatan Perdana Menteri (MKN,JPM) dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri serta Perwakilan Perwakilan Malaysia di Jeddah, Doha dan Amman.
Menurutnya, perwakilan Malaysia di lapangan membantu menyelaras pergerakan rakyat Malaysia yang terjejas, termasuk pemindahan melalui laluan darat dari beberapa lokasi di rantau tersebut ke Jeddah bagi membolehkan mereka menyertai penerbangan pulang ke tanah air.
"Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada Malaysia Airlines serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran operasi membawa pulang rakyat Malaysia ke tanah air," katanya.
Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
Konflik yang kini berlanjutan hampir dua minggu itu terus meruncing apabila kedua-dua pihak meningkatkan operasi ketenteraan masing-masing.











