top of page

Muat naik hantaran jelik: Pentadbir FB dipenjara 10 bulan, denda RM50,000

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

11 Mac 2026


MIRI: Pentadbir akaun Facebook ‘Bat Tuo Sai’ dihukum penjara 10 bulan dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen 1 Miri selepas didapati bersalah memuat naik komen bersifat jelik melampau dan menyinggung sensitiviti agama Islam.


Tertuduh, John Mule anak Alai, 48, didapati bersalah menggunakan perkhidmatan aplikasi secara tidak wajar dengan memuat naik penghantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk mengganggu pihak lain.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berkata, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].


“Beliau selaku pentadbir akaun Facebook ‘Bat Tuo Sai’, telah memuat naik komen yang mencerca dan menghuni ayat suci al-Quran serta Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada hantaran Facebook Astro Awani berkaitan berita pemergian beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Suruhanjaya itu menegaskan pihaknya memandang serius sebarang bentuk salah guna platform digital yang boleh menghina agama, mencetuskan kebencian atau menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.


Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah, bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.


“Sebarang kandungan yang menghina, menghasut kebencian atau menyinggung sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja boleh dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page