top of page

Ahli Parlimen Tuaran terus bangkitkan isu SMK Nabalu di Dewan Rakyat

  • nabalunews
  • 21 hours ago
  • 2 min read



TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau, terus membangkitkan isu pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu di Dewan Rakyat dalam sesi Soalan Bertulis di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Beliau meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan status pembinaan SMK Nabalu dan SMK Laya-Laya di Tuaran yang menjadi tumpuan penduduk setempat sejak sekian lama.


Ahli Dewan Undangan Negeri N.14 Tamparuli itu turut meminta Menteri Pendidikan menyatakan status pembinaan Sekolah Menengah Pendidikan Vokasional Khas, Sekolah Seni Malaysia Tuaran dan Pusat Permata Kurnia di Tuaran seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.


Menjawab soalan tersebut, KPM dalam jawapan bertulis memberitahu bahawa pembinaan SMK Nabalu merupakan projek pembinaan baharu 18 bilik darjah telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) Rolling Plan ke-3 (RP3) pada tahun 2023.


“Projek itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia menerusi kaedah Reka dan Bina dan kini berada pada peringkat prabina.


“Sementara itu, projek pembinaan baharu SMK Laya-Laya yang mengandungi 36 bilik darjah serta kemudahan lain mengikut piawai telah diluluskan di bawah RMKe-12 RP4 pada tahun 2024.


“Projek berkenaan turut dilaksanakan oleh JKR Malaysia dengan kaedah Reka dan Bina dan kini berada pada peringkat prabina,” jelas kementerian itu.


Bagi pembinaan baharu Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Tuaran dan Sekolah Seni Malaysia Sabah di Kampung Laya-Laya, KPM memaklumkan projek itu telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) Rolling Plan Kelima (RP5) pada tahun 2025.


“Kedua-dua projek itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia menggunakan kaedah Reka dan Bina, dan kini berada pada peringkat prabina.


“Bagi Pusat PERMATA Kurnia Negeri Sabah pula, projek itu dilaksanakan oleh JKR Sabah secara kaedah konvensional perunding dan turut berada pada peringkat prabina,” ujar KPM lagi.


Sementara itu, Madius dalam satu kenyataan hari ini menyuarakan harapan agar semua projek tersebut dapat dipercepatkan bagi memastikan pelajar-pelajar di Tuaran dapat menikmati kemudahan pembelajaran yang lebih baik.


“Saya akan terus memantau dan konsisten memperjuangkan perkara ini di Parlimen Dewan Rakyat bagi memastikan segala projek pembangunan ini dapat disiapkan dengan jayanya,” ujarnya lagi yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pendidik.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page