Kesesakan Pelabuhan Sepanggar ditangani menerusi 10 langkah, task force pantau pelaksanaan – Ewon
- nabalunews
- 1 hour ago
- 4 min read

20 Julai 2026
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan negeri sedang melaksanakan 10 pelan tindakan interim bagi menangani isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP), termasuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Task Force bagi menyelaras pelaksanaannya.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius isu kesesakan di SBCP kerana ia memberi kesan kepada kelancaran rantaian logistik, kos operasi dan akhirnya mempengaruhi harga barangan di Sabah.
Katanya, Jawatankuasa Task Force yang dipengerusikan beliau sendiri berperanan menyelaras pelaksanaan 10 pelan tindakan interim yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri secara bersepadu serta memastikan pemantauan berterusan dilaksanakan secara lebih efektif bersama agensi-agensi berkaitan dan pemain industri.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Wong Hong Jun (Tanjung Aru) dan Datuk Donald Peter Mojuntin (Moyog) mengenai prestasi operasi DP World Sabah serta langkah-langkah Kerajaan Negeri menangani kesesakan di Pelabuhan Sepanggar pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Ewon berkata, 10 pelan tindakan interim yang sedang dilaksanakan ialah penambahan container yard, pelaksanaan kadar tarif baharu, penguatkuasaan peraturan terhadap kontena melebihi tempoh simpanan, pengurangan tempoh penyimpanan kontena secara percuma semasa musim puncak, penyediaan tapak parkir treler di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), pelaksanaan Vehicle Booking System (VBS), pelaksanaan operasi 24 jam oleh agensi kerajaan di SBCP, menaik taraf peralatan pelabuhan, perpindahan operasi Roll-on/Roll-off (RORO) dari SBCP ke Pelabuhan Kota Kinabalu serta pelaksanaan Berthing Window Programme (BWP).
“Kementerian sentiasa komited memantau keberkesanan pelan interim ini dari semasa ke semasa dan akan memberikan penyelesaian konkrit kepada kesesakan di SBCP.
“Kelancaran aliran logistik ini diharap akan meminimumkan kos kendalian secara menyeluruh dan mengelakkan sebarang kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat Sabah,” katanya.
Mengenai prestasi DP World Sabah, Ewon berkata tujuan utama usaha sama strategik antara Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) dan DP World Sabah adalah untuk meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan serta memposisikan SBCP sebagai hab transhipment dan hab perdagangan utama di rantau BIMP-EAGA serta Intra-ASEAN.
Beliau berkata, projek pembesaran SBCP yang sepatutnya siap pada Februari 2025 bagaimanapun mengalami kelewatan sehingga diberikan lima kali pelanjutan masa (Extension of Time – EOT).
Katanya, DP World Sabah mengambil alih pengurusan pelabuhan pada September 2024 ketika projek pembesaran masih belum siap, justeru adalah pramatang untuk menjalankan kajian prestasi atau audit rasmi terhadap pengurusan syarikat itu bagi menilai pencapaian sasaran menjadikan SBCP sebagai hab transhipment.
Ewon berkata, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) sebagai badan kawal selia pelabuhan sentiasa menjalankan pemantauan dan penilaian berterusan terhadap prestasi operator konsesi pelabuhan di seluruh Sabah, termasuk DP World Sabah.
Katanya, indikator utama yang dipantau ialah Purata Masa Menunggu Kapal Berlabuh (Average Berth Waiting Time – ABWT), tempoh penyimpanan kontena (container dwell time) dan kadar penggunaan kawasan penyimpanan (yard utilisation).
Menurut beliau, purata masa menunggu kapal menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara selepas pengambilalihan oleh DP World Sabah hasil peningkatan produktiviti pelabuhan, penambahbaikan perancangan kapal berlabuh serta pengoperasian empat quay crane secara serentak buat pertama kali.
“Sebelum pengambilalihan oleh DP World Sabah, purata masa menunggu kapal ialah 66 jam bagi tempoh Disember 2023 hingga September 2024. Selepas pengambilalihan, purata itu berjaya dikurangkan kepada hanya 20.24 jam bagi tempoh Oktober 2024 hingga Julai 2025,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, peningkatan semula tempoh menunggu kapal kebelakangan ini berpunca daripada kadar penggunaan kawasan penyimpanan kontena yang mencecah sehingga 101 peratus susulan peningkatan jumlah kendalian kontena, pengurangan kira-kira 10 peratus ruang penyimpanan bagi memberi laluan kepada projek pembesaran pelabuhan serta gangguan operasi akibat kerja-kerja menaik taraf pintu gerbang terminal.
Beliau berkata, sejak mengambil alih operasi SBCP, DP World Sabah turut meningkatkan kapasiti kawasan penyimpanan kontena sebanyak 41 peratus daripada 6,800 TEUs kepada 9,574 TEUs melalui penyusunan semula kawasan dan kaedah penimbunan kontena yang lebih tinggi.
Namun, katanya, pertumbuhan ekonomi Sabah serta peningkatan aktiviti perdagangan menyebabkan kapasiti tambahan itu masih belum mencukupi untuk menampung permintaan semasa, dengan kadar penggunaan container yard secara purata melebihi 70 peratus dan boleh meningkat sehingga 100 peratus pada musim puncak.
Sehubungan itu, kementerian sedang melaksanakan beberapa langkah tambahan termasuk memanfaatkan kawasan RORO sebagai kawasan simpanan kontena kosong, menyiapkan sebahagian kawasan container yard baharu seluas empat ekar yang dijangka siap pada Disember 2026 serta mengambil alih tanah seluas 14 ekar bersebelahan SBCP untuk dijadikan kawasan simpanan kontena sementara.
Mengenai tempoh penyimpanan kontena, Ewon berkata purata container dwell time meningkat daripada 4.0 hari sebelum pengambilalihan DP World Sabah kepada 5.1 hari sehingga Jun 2026.
Katanya, peningkatan itu dipengaruhi oleh pertambahan jumlah pengendalian kontena, penggunaan maksimum kawasan container yard, kesesakan di terminal gate serta faktor pelepasan kontena oleh pengimport, ejen penghantaran dan agensi berkaitan yang berada di luar kawalan operator pelabuhan.
Beliau berkata, DP World Sabah sedang melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan operasi termasuk mengoptimumkan perancangan pelabuhan, memperkukuh koordinasi bersama pelanggan dan agensi berkaitan serta meningkatkan kecekapan pengendalian kontena bagi mengurangkan container dwell time secara berperingkat.
Ewon berkata, secara keseluruhannya DP World Sabah mempamerkan prestasi yang baik meskipun berdepan kekangan kapasiti kawasan container yard yang terhad.
Katanya, prestasi syarikat itu bukan disebabkan ketidakcekapan pengurusan pelabuhan, sebaliknya lebih dipengaruhi oleh faktor kapasiti pelabuhan yang kritikal.
“Kerajaan negeri menyedari SBCP sedang berdepan cabaran kesesakan sementara akibat lonjakan jumlah kendalian kontena dan pelaksanaan projek pembesaran infrastruktur yang masih berjalan. Namun, pelbagai langkah mitigasi sedang giat dilaksanakan termasuk 10 pelan tindakan interim bagi memastikan kelancaran rantaian logistik dan ekonomi Sabah terus terpelihara,” katanya.











