top of page

Ewon komited ambil tindakan pandangan Persatuan Logistik Sabah

  • nabalunews
  • 22 hours ago
  • 1 min read

19 Julai 2026


PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick komited meneliti serta mengambil tindakan bersesuaian terhadap pandangan dan cadangan Sabah Freight Forwarders & Logistics Association (SABFFLA) bagi memperkukuh sektor logistik di negeri ini.


Beliau berkata, ini kerana ahli-ahli SABFFLA adalah pemain industri yang penting serta menjadi pembolehubah besar kepada ekosistem perindustrian dan keusahawanan di Sabah.


“Saya menghargai komitmen dan jiwa besar pimpinan serta ahli-ahli SABFFLA dalam usaha meningkatkan ekosistem aktiviti di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.


“Saya juga telah memasukkan SABFFLA bersama persatuan-persatuan pengguna pelabuhan dalam Task Force Pemantauan Pelaksanaan 10 Langkah Menangani Kesesakan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar yang ditubuhkan sejak Mac tahun ini,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menghoskan pertemuan bersama kepimpinan SABFFLA yang diketuai Presidennya, Datuk Johnson Dai, pada Ahad.


Ewon berkata, penglibatan persatuan itu dalam pasukan petugas khas berkenaan membolehkan pandangan pemain industri diambil kira secara langsung dalam usaha menambah baik operasi pelabuhan dan menangani isu kesesakan.


Pada masa sama, Ewon turut bersetuju menghadiri sambutan ulang tahun ke-33 SABFFLA pada 25 Julai ini sebagai tanda komitmen dan sokongan kerajaan negeri kepada pemain industri logistik tempatan.


“Saya juga bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada SAFFLLA untuk keperluan pembangunan yang diperlukan oleh persatuan ini,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan pemain industri bagi memastikan sektor logistik Sabah kekal cekap, berdaya saing dan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page