top of page

Ahli perniagaan wanita berdepan 3 pertuduhan terima deposit awam tanpa lesen

Wartawan Nabalu News

25 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Seorang ahli perniagaan wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini atas tiga pertuduhan bersetuju menerima deposit awam tanpa lesen sah, berkaitan skim pelaburan emas bernilai lebih RM5 juta, tahun lepas.


Norhafiza Abbas, 30, yang mengandung tujuh bulan menjawab faham dan mengaku tidak bersalah untuk ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rosli Ahmad.


Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersetuju menerima deposit awam daripada orang ramai tanpa lesen sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) di antara 30 Mei hingga 20 Julai 2023 di sebuah premis di Pusat Komersil Gaya, Jalan Guru.


Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan kesalahan yang sama melalui akaun semasa Maybank millik Abbas Family Enterprise dan akaun simpanan Maybank millik tertuduh, di antara 21 Mei hingga 17 Jun 2023, di Maybank Islamic Berhad, Jalan Mahkamah, Fajar Complex.


Manakala, bagi pertuduhan ketiga, Norhafiza didakwa melakukan kesalahan sama melalui akaun simpanan Public Bank milik Zerina Collection dan akaun bank Zerina Collection Sdn Bhd, di antara 23 Mei hingga 14 Julai 2023 di Public Islamic Bank, Kompleks Fajar Complex. 


Norhafiza didakwa mengikut Seksyen

137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta yang sama.


Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan

hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali.


Mahkamah menawarkan wang jaminan RM10, 000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM30,000 bersama dua penjamin tempatan ke atas tertuduh.


Mahkamah turut menetapkan 22 Ogos depan bagi sebutan semula kes.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page