top of page

Aidilfitri platform perkukuh perpaduan masyarakat majmuk Sabah - Tun Musa

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

19 Mac 2026


KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata sambutan Hari Raya Aidilfitri perlu dijadikan platform untuk memperkukuh perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.


Menurutnya, keamanan dan keharmonian yang dinikmati ketika ini perlu disyukuri serta dipelihara melalui komitmen terhadap kesatuan masyarakat.


“Tanpa kesatuan, masyarakat akan mudah berpecah belah dan keadaan seperti ini akan merugikan. Kesatuan bukan sekadar bersatu dalam ikatan tetapi juga dalam pemikiran, tujuan dan tindakan.


“Kesatuan adalah kunci kepada keharmonian sosial. Perbezaan budaya, agama dan tradisi perlu dihormati dan dijadikan kekuatan untuk memupuk rasa saling menghargai serta menyingkirkan perasaan syak wasangka,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M.


Menurut beliau, pendidikan berkualiti, dasar-dasar yang inklusif serta usaha mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin adalah penting dalam memupuk keadilan dan kesejahteraan sosial rakyat.


“Sama-samalah kita berusaha mencari redha Allah SWT dengan menggembleng tenaga dan segala sumber yang ada untuk memperbaiki keadaan hidup, baik dari segi akidah, ekonomi, pendidikan mahupun sosial,” katanya.


Tun Musa turut menyeru masyarakat agar menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan serta mengekalkan tradisi ziarah dan bermaaf-maafan sempena Aidilfitri.


“Saya berdoa agar sambutan Aidilfitri tahun ini lebih meriah dan bermakna mengukuhkan ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Sabah khasnya dan Malaysia amnya,” katanya.


Pada masa sama, beliau juga mengingatkan masyarakat agar tidak mengabaikan aspek kesihatan dan keselamatan diri serta keluarga semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri.


“Berpada-pada dalam soal makan dan minum serta berhati-hati di jalan raya kerana musim perayaan sering mencatatkan kadar kemalangan tinggi yang boleh menyebabkan kecederaan parah serta kehilangan nyawa,” katanya.


Tun Musa turut menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan memelihara keselamatan rakyat dan mempertahankan kedaulatan negara.


Mengakhiri perutusannya, Tun Musa dan seluruh ahli keluarga merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat, khususnya umat Islam yang menyambutnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page