top of page
nabalunews

AirAsia terbang ke Sabah, Sarawak dari Subang selepas 24 tahun

30 Ogos 2024


SUBANG: AirAsia hari ini memulakan operasi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), yang lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang, dengan penerbangan pertama ke Sabah dan Sarawak.


Dua penerbangan itu menandakan peristiwa penting dalam sejarah syarikat penerbangan itu dengan menghubungkan semula perkhidmatan selepas 24 tahun pelancaran operasi pertamanya dari lapangan terbang yang sama.


Berita Harian melaporkan penerbangan pertama AK4102 dari Kota Kinabalu berlepas pada jam 6.25 pagi dan telah tiba di Lapangan Terbang Subang pada jam 9 pagi.


Pesawat itu disambut dengan pancuran air semasa ketibaan serta diraikan oleh pihak pengurusan Capital A dan AirAsia.


Sambutan itu diikuti dengan majlis pelepasan penerbangan AK4235 ke Kuching dari Lapangan Terbang Subang pada jam 9.30 pagi.


Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun, berkata kepulangan ke Lapangan Terbang Subang adalah satu kenangan manis buat semua kakitangan AirAsia.


Beliau berkata, ia adalah tempat di mana segalanya bermula apabila syarikat penerbangan tambang rendah itu merealisasikan impian untuk mendemokrasikan perjalanan udara.


"Kami berbangga untuk membawa pesawat kami kembali ke Subang kerana ia bukan saja mengimbau masa lalu malah merangka hala tuju baharu untuk masa depan kami.


"Ini adalah kejayaan penting bagi AirAsia dan kami yakin kepulangan ke Subang akan menandakan permulaan baharu dalam sejarah kami dalam usaha berterusan mencapai kejayaan dan menetapkan taraf baharu dalam industri penerbangan," katanya dalam satu kenyataan.


Ketua Pegawai Eksekutif Capital A serta Penasihat AirAsia Aviation Group, Tan Sri Tony Fernandes, berkata Lapangan Terbang Subang sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati beliau.


Beliau berkata, di situlah pihaknya memulakan langkah pertama sebagai syarikat penerbangan kecil dengan impian yang besar.


Katanya, pihaknya kembali dengan semangat dan harapan yang sama berserta pengalaman dan cita-cita yang jauh lebih besar untuk menerokai peluang pertumbuhan baharu bagi AirAsia dan Capital A.


"Pelan pembangunan semula Lapangan Terbang Subang dijangka merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab penerbangan terkemuka di rantau ini.


"Penyambungan semula perkhidmatan pesawat satu lorong di sini adalah langkah ke arah memodenkan lapangan terbang bersejarah ini sebagai terminal bandar berpotensi tinggi yang akan berfungsi sebagai hab untuk pengembara perniagaan.


"AirAsia kini berada di kedudukan terbaik untuk mengembangkan perkhidmatan melalui perniagaan Capital A lain seperti Teleport, MOVE, Asia Digital Engineering, Santan, GTR dan lain-lain, serta komited untuk menyumbang kepada transformasi penting dalam industri penerbangan negara," katanya.

Comments


bottom of page