top of page

Akibat Salah Faham, Suami Tikam Isteri

  • nabalunews
  • Apr 2
  • 1 min read


1 April 2025


KINABATANGAN: Akibat gagal mengawal perasaan marah ekoran masalah rumah tangga, seorang lelaki bertindak menikam isterinya dalam kejadian di Kampung Perpaduan Datu Ugi, di sini, hari ini.


Dalam kejadian jam 8.55 pagi itu, lelaki warga emas berusia 75 tahun itu dikatakan menikam isterinya menggunakan pisau di leher.


Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden D Ravi berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian selepas dihubungi salah seorang anak pasangan berkenaan.



Katanya, siasatan mendapati, mangsa berusia 65 tahun yang berada di ruang tamu rumah didatangi suaminya dengan membawa sebilah pisau.


"Suspek secara tiba-tiba bertindak menikam mangsa di bahagian leher dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


“Keterangan awal daripada saksi-saksi bebas mendedahkan motif kejadian dipercayai berpunca daripada konflik perceraian antara mangsa dan suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Ravi berkata, bertindak atas laporan diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan terus bergegas ke lokasi kejadian.


Katanya, suspek berjaya ditahan dan pasukan polis turut berjaya merampas sebilah pisau berukuran hampir 35 sentimeter.


“Pisau berkenaan disyaki digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa turut dirampas bagi membantu siasatan,”katanya.


Sementara itu, Ravi berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Duckess Of Kent, Sandakan untuk proses bedah siasat.


Katanya, suspek akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page