top of page

AKIS lonjak kredibiliti pemain industri tempatan

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

7 February 2026


KOTA KINABALU: Penganjuran Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) dapat melonjakkan kredibiliti para pemain industri tempatan.


Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, AKIS yang kini memasuki edisi ke-10 bukan sekadar satu majlis penganugerahan malah ianya merupakan inisiatif bagi melahirkan syarikat yang lebih produktif dan inovatif.


"AKIS menjadi platform penting untuk meningkatkan kredibiliti dan keyakinan pelabur terhadap industri tempatan serta menyerlahkan syarikat yang menunjukkan amalan terbaik sebagai model teladan kepada pemain industri lain.


"Kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian lama, justeru kementerian sentiasa meningkatkan kriteria pemilihan agar anugerah ini terus berkembang selari dengan piawaian kebangsaan.


"Kriteria penilaian bagi edisi kali ini telah diperketatkan yang merangkumi aspek kepimpinan, perancangan modal insan, serta pengurusan maklumat dan pengetahuan" katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) 2024/2025 di sini, pada Jumaat.


Menurut beliau pada tahun ini AKIS menawarkan enam kategori penyertaan yang merangkumi usahawan IKS sehingga syarikat besar dengan nilai jualan sehingga RM50 juta setahun.


"Selaras dengan wawasan 'Sabah First', tumpuan utama kementerian adalah untuk melahirkan lebih ramai rakyat Sabah yang berpendapatan tinggi, sama ada sebagai pemilik perniagaan, usahawan, mahupun tenaga kerja mahir.


"Saya ingin melihat lebih banyak syarikat dari Sabah, termasuk syarikat pemula (start-ups), dibangunkan dengan produk atau perkhidmatan yang memenuhi standard antarabangsa.


"Platform seperti AKIS dan Program Transformasi Usahawan Sabah dapat merapatkan jurang tersebut melalui peningkatan standard produk, termasuk penggunaan kod bar dan kandungan nutrisi yang memenuhi piawaian global," tambahnya. 


Beliau berharap para penerima anugerah menjadikan pengiktirafan tersebut sebagai pemangkin untuk membawa nama Sabah ke persada dunia.


Seramai 50 usahawan yang berjaya melalui proses transformasi bagi tahun 2025 diraikan, sekali gus menyokong aspirasi Sabah sebagai sebuah Negeri Perindustrian menjelang tahun 2040./Penerangan


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page