Akses perkhidmatan kesihatan perlu di kawasan terpencil: Ellron
- nabalunews
- 18 hours ago
- 2 min read

9 Ogos 2025
SOOK: Akses perkhidmatan kesihatan seperti Klinik Desa sangat diperlukan terutama di kawasan yang terpencil di Pedalaman.
Menteri Belia Dan Sukan Datuk Ellron Angin berkata, ini kerana komuniti di sesebuah kampung perlu penjagaan kesihatan terutama ibu-ibu mengandung yang memerlukan perkhidmatan diperingkat awal sebelum dirujuk di Hospital.
Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook berkata demikian semasa berucap merasmikan naiktaraf bangunan Klini Desa Karamatoi dekat sini pada Jumaat.

Menurut Ellron pembinaan bangunan baharu Klinik Desa Karamatoi ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di kawasan Pedalaman.
Katanya, Klinik ini bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi lambang harapan dan kesejahteraan buat komuniti setempat.
Dengan fasiliti yang lebih baik dan persekitaran yang lebih kondusif, Ellron yakin para petugas kesihatan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih efisien, selesa dan selamat kepada masyarakat.
"Saya difahamkan bahawa klinik ini akan menyediakan perkhidmatan penjagaan ibu mengandung, imunisasi dan perkembangan kanak-kanak" ujarnya.
Perkhidmatan seperti ini jelasnya, amat penting bagi memastikan kelahiran yang sihat dan perkembangan kanak-kanak yang optimum.
Ellron berkata, sebagai wakil rakyat dan anggota pentadbiran kerajaan negeri, beliau akan sentiasa menyokong segala usaha pembangunan dan penambahbaikan kemudahan kesihatan di kawasan luar bandar.
Katanya, kerjasama erat antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan agensi-agensi berkaitan amat penting untuk memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan.
Ellron turut mengajak seluruh penduduk untuk sama-sama menjaga fasiliti yang disediakan ini, menghargai usaha kerajaan dan memberikan kerjasama yang baik kepada petugas kesihatan.
Pada masa sama Ellron merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, dan Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau atas usaha dan komitmen dalam memastikan kemudahan kesihatan yang berkualiti dapat dinikmati oleh rakyat luar bandar, khususnya penduduk di sekitar Kampung Karamatoi dan kawasan sekitarnya.
Beliau juga berharap semoga Klinik Desa Karamatoi yang baharu ini menjadi pemangkin kepada kehidupan yang lebih sihat, lebih sejahtera dan lebih cemerlang buat masyarakat setempat.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Denggi) Cawangan Penyakit Bawaan Vektor Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Doktor Marilyn Maluda, Penolong Pegawai Daerah Sook Inchek Anam dan Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau Doktor Valentine @ Japulee Gantul.