Aktiviti bom ikan digagalkan
- nabalunews
- Mar 11
- 1 min read

11 Mac 2025
SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Pulau Kalapuan, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, aktiviti berkenaan berjaya dikesan ketika pasukan Zon Maritim Semporna yang sedang menjalankan tugas Op Pluto Timur di sekitar perairan berkenaan.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, sebaik dikesan dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi bertindak menghampiri bot berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan.
Bagaimanapun, katanya, individu di atas bot berkenaan bertindak melarikan diri ke kawasan perairan cetek dan terus meninggalkan bot bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dipercayai terlibat dalam kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan.
“Bot dan beberapa barangan lain yang dianggarkan bernilai hampir RM5,000 itu terus dirampas dan dibawa ke Jeti Pelancong Semporna untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan, adalah satu kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana merosakkan ekosistem marin dan membahayakan nyawa manusia.
“Kejayaan ini membuktikan ketegasan Maritim Malaysia melindungi sumber laut negara dan memastikan perairan Semporna bebas daripada aktiviti perikanan haram yang mengancam kelestarian alam sekitar.
“Aktiviti ini bukan saja memusnahkan habitat laut, tetapi turut memberi kesan jangka panjang terhadap industri perikanan dan sektor pelancongan yang bergantung kepada keindahan ekosistem marin,” katanya.
Sehubungan itu, Amir menyeru masyarakat menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti perikanan haram dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619.
Katanya, kerjasama semua pihak amat diperlukan agar dapat memastikan sumber marin di Semporna terus terpelihara untuk dinikmati oleh generasi akan datang.
Comments