• nabalunews

AKTIVITI EKONOMI DIBENARKAN SEPANJANG PKPB DENGAN PATUHI SOP: JOACHIM


16 OKTOBER 2020


Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Semua kegiatan berkaitan sektor ekonomi, industri dan perniagaan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr.Joachim Gunsalam.

Bagaimanapun beliau berkata, kawasan-kawasan lokaliti yang dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah terkecuali daripada SOP itu.

“Semua sektor ekonomi di kawasan PKPB seperti perkilangan, pembinaan, pertanian, perikanan, perladangan, pembangunan hartanah, logistik, peruncitan, perkhidmatan dan sebagainya adalah dibenarkan untuk beroperasi sepanjang PKPB.

“Perniagaan yang tidak dibenarkan ialah aktiviti pusat-pusat atau premis hiburan, kelab-kelab hiburan, termasuk kelab malam, pub, panggung wayang, aktiviti perjudian, pasar malam, pasar tani, tamu, rumah urut, pusat refleksologi, rawatan muka (facial), manicure dan pedicure,” katanya, di sini, kelmarin.

Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, para pengusaha dan peniaga serta pemain industri wajib mematuhi peraturan SOP berikut untuk beroperasi iaitu masa operasi perniagaan bermula 6.00 pagi sehingga 6.00 petang.

“Bilangan pekerja perniagaan hendaklah dihadkan kepada hanya 50 peratus pada satu-satu masa, melaksanakan penjarakan sosial (social distancing) satu meter, kawalan jumlah pembeli dalam satu-satu masa, penetapan satu pintu/laluan masuk dan satu pintu/laluan keluar, had masa bagi setiap pembeli tidak lebih 30 minit.

“Pengimbasan suhu badan oleh pemilik premis juga mesti disediakan, saringan suhu badan dilaksana di laluan masuk premis kerja (suhu badan dengan bacaan melebihi 37.5 darjah celsius dan ke atas tidak dibenarkan masuk).

“Sekiranya, suhu badan majikan, pekerja atau pelanggan menunjukkan 37.5 darjah celsius atau bergejala tidak dibenarkan masuk dan hendaklah dirujuk kepada Jabatan Kesihatan serta merta,” katanya.

Joachim berkata, pelanggan dan pekerja juga diwajibkan memakai face mask dan menggunakan hand sanitizer dan pengusaha premis diwajibkan melakukan kerja-kerja menyahkuman di premis masing-masing secara berterusan.

Joachim turut menghargai komitmen pihak industri berganding bahu dengan Kerajaan Negeri dalam menangani penularan wabak COVID-19 dan juga mematuhi SOP.