Aktiviti gempa bumi di Sabah pada tahap rendah, terkawal – MetMalaysia
- nabalunews
- 2 minutes ago
- 2 min read

23 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Aktiviti gempa bumi di Sabah kekal pada tahap rendah dan terkawal, selepas kejadian serupa yang bermagnitud 6.8, berlaku di perairan negeri itu pada 23 Februari lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ambun Dindang berkata, setakat ini tiada gempa susulan direkodkan di kawasan berkenaan, namun pemantauan berterusan sedang dijalankan bagi mengesan sebarang aktiviti seismik.
Menurutnya, berdasarkan rekod lampau, sebahagian besar gempa bumi yang berlaku di negeri itu adalah pada skala lemah hingga sederhana dan risiko gempa bumi kuat dalam tempoh terdekat adalah rendah.
“Bagaimanapun, kemungkinan kejadian gempa bumi tetap wujud memandangkan ia tidak boleh diramal lebih awal. Berdasarkan rekod kejadian gempa bumi di negeri itu, Ranau dan Lahad Datu adalah yang paling aktif dari segi kesismikan.
“Kedua-dua daerah ini sering mengalami kejadian gempa bumi kecil hingga sederhana disebabkan oleh aktiviti sesar aktif tempatan,” katanya lapor Berita Harian.
Mengulas lanjut, Ambun berkata kemungkinan untuk berlakunya tsunami adalah apabila gempa bermagnitud lebih besar dari 6.5 yang berlaku di dasar laut pada kedalaman cetek (kurang dari 100 kilometer).
“Selain itu, tsunami juga berpotensi berlaku jika terdapat pergerakan mengenak di dasar laut (bukan sekadar gelinciran mendatar). Pusat gempa berlaku di perairan Sabah pada 23 Februari lalu adalah sangat dalam dan tidak mencetuskan tsunami,” katanya.
Ambun berkata pemantauan gempa bumi di Sabah dilaksanakan secara rapi oleh Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah (POCGS) Bersama Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional (POCGN) yang beroperasi 24 jam.
Katanya, data gelombang seismik yang diterima secara masa nyata daripada rangkaian stesen seismologi di seluruh Sabah akan diproses secara automatik oleh sistem pemprosesan di POCGS dan POCGN bagi mengesan parameter gempa bumi seperti kekuatan, kedalaman dan lokasi pusat gempa.
“Parameter gempa bumi yang dikesan ini kemudiannya ditentusahkan oleh pegawai yang bertugas sebelum maklumat itu dihebahkan kepada agensi pengurusan bencana dan orang awam,” katanya.
Ambun berkata Sabah mempunyai 28 stesen seismik yang sebahagian daripada rangkaian pemantauan gempa bumi nasional untuk pemantauan gempa bumi selain disokong data diterima dari pemantauan antarabangsa melalui rangkaian global seismologi.
Ujarnya, sistem pemantauan dan amaran sedia ada di Malaysia amnya dan di Semenanjung khasnya berupaya memantau sebarang kejadian gempa dan memaklumkan atau mengeluarkan amaran tsunami sekiranya perlu kepada rakyat.
“Dalam perancangan Rancangan Malayan Ke-13 (RMK-13), MetMalaysia merancang untuk menambah bilangan sensos seismik, menaik taraf teknologi pemantauan, mengukuhkan kerjasama antarabangsa, serta memperkukuh kepakaran tempatan.
“Usaha ini akan memastikan negara lebih bersedia menghadapi perubahan dinamik tektonik, sejajar dengan standard global,” katanya.
Ambun berkata orang awam tidak perlu panik atau bimbang kerana aktiviti gempa yang dialami negara setakat ini tidak menunjukkan risiko ancaman signifikan.
Katanya, MetMalaysia akan terus memantau aktiviti seismik di kawasan terbabit dan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi.
“Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti MetMalaysia untuk mendapatkan maklumat gempa bumi terkini menerusi laman sesawang jabatan,” katanya.















Comments