Konflik Asia Barat: Bekalan ubat-ubatan negara stabil, terkawal
- nabalunews
- 11 minutes ago
- 1 min read

23 Mac 2026
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan bekalan ubat-ubatan dalam negara ketika ini kekal stabil dan terkawal meskipun berlaku konflik di Asia Barat.
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, berdasarkan penilaian semasa, kesan konflik berkenaan terhadap bekalan ubat di Malaysia bagi jangka masa pendek adalah minimum.
“Paras stok ubat di fasiliti KKM disimpan antara satu hingga tiga bulan berdasarkan keperluan penggunaan semasa.
“Selain itu, bekalan juga turut disokong oleh stok penimbal tambahan sehingga dua bulan di peringkat syarikat konsesi bagi ubat-ubatan yang dibekalkan melalui konsesi logistik,” menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan, pemantauan bekalan ubat dalam negara juga dilaksanakan secara berterusan melalui mekanisme sedia ada termasuk sistem pelaporan gangguan bekalan oleh Pemegang Pendaftaran Produk (PRH) yang dikendalikan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Menurut kementerian itu, sehingga 22 Mac 2026, tiada peningkatan trend dalam pelaporan PRH membabitkan gangguan bekalan ubat-ubatan dikesan.
“Maklum balas daripada industri farmaseutikal tempatan pula menunjukkan pengilang mempunyai stok bahan mentah sehingga tiga bulan dan produk siap sekitar dua bulan.
“Manakala pihak pengimport turut melaksanakan pemantauan rapi terhadap rantaian bekalan masing-masing bagi memastikan bekalan kekal mencukupi,” katanya.
KKM memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan konflik di Asia Barat secara teliti dan komited mengambil langkah proaktif bagi memastikan keterjaminan bekalan ubat kepada rakyat.
Ia termasuk penubuhan pasukan petugas yang terdiri daripada pihak industri farmaseutikal dan pemegang taruh berkaitan untuk tujuan pemantauan serta memastikan keterjaminan bekalan ubat terutama membabitkan ubat-ubatan bawah Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML) di Malaysia.











