top of page

Malaysia antara tiga negara ASEAN paling terdedah risiko bekalan minyak Teluk Parsi

  • nabalunews
  • 7 minutes ago
  • 3 min read

23 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Negara anggota ASEAN iaitu Filipina, Vietnam dan Malaysia merupakan tiga negara utama perkumpulan itu yang paling terdedah terhadap risiko bekalan akibat krisis di Asia Barat berikutan realiti rantau ini yang amat bergantung kepada sumber minyak mentah dari Teluk Parsi.


Sebahagian besar penghantaran minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) yang melalui Selat Hormuz yang kini terus terjejas akibat konflik yang berlarutan itu, adalah bagi destinasi ke Asia dengan China dan India menjadi penerima terbesar daripada aliran berkenaan.


Menerusi nota penyelidikan, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menyatakan dalam kalangan negara-negara ASEAN, pendedahan import minyak mentah Filipina mencecah 95 peratus dan diikuti oleh Vietnam sebanyak 88 peratus, Malaysia 69 peratus manakala Thailand (59 peratus) dan Singapura (52 peratus).


Sebaliknya, profil import Indonesia adalah lebih pelbagai iaitu hanya 20 peratus sumber minyak mentah diperoleh dari negara Teluk.


"Filipina paling terdedah berikutan kebergantungan hampir kesemuanya minyak import selain amat bergantung terhadap pembekal dari Teluk Parsi," menurutnya.


Risiko itu disukarkan lagi dengan langkah China mengehadkan eksport produk petroleum ditapis seperti diesel, petrol dan bahan api jet, menurut Maybank IB.


Walaupun kebanyakan output itu digunakan di peringkat domestik, China mengeksport 5.8 juta tan produk ditapis pada 2025 dengan pasaran utama termasuk Singapura, Vietnam, Jepun dan Korea Selatan.


Di Malaysia pula menyaksikan subsidi kerajaan melonjak daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu berikutan peningkatan ketara harga minyak global akibat krisis di Asia Barat.


Baru-baru ini, kerajaan turut bertindak menaikkan harga bahan api tanpa subsidi selaras dengan kenaikan berkenaan ketika subsidi untuk orang awam masih dikekalkan melalui pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI Diesel.


Dalam perkembangan lain, bank pelaburan itu menyatakan Singapura berperanan penting sebagai hab utama bahan api jet antarabangsa, menjadikan sebarang gangguan dalam aliran produk ditapis memberi kesan besar kepada rantaian bekalan serantau.


Selain itu, merujuk import diesel, Singapura mencatat kebergantungan tertinggi dalam kalangan negara ASEAN dengan 16 peratus daripada sumber negara Teluk dan diikuti Indonesia pada 8.4 peratus manakala Thailand sebanyak 6.8 peratus.


Menurut Maybank IB, kebergantungan rantau itu terhadap sumber tenaga luar hanya menekankan lagi pendedahan terhadap kejutan bekalan, terutama dalam senario pengeluar atau penapis utama mengenakan sekatan eksport bagi melindungi keperluan domestik.


"Bagi gas pula, Vietnam paling banyak bergantung dengan kira-kira 49 peratus dari negara Teluk.


"Sebahagian besar daripadanya jelas dalam import gas petroleum cecair (LPG) Vietnam iaitu kira-kira 70 peratus dari Asia Barat," menurutnya.


Pada masa sama, rantau Teluk menyumbang 37 peratus import gas Indonesia dengan LPG keluaran rantau itu merangkumi 30 peratus daripada jumlah import secara menyeluruh.


Thailand juga tidak terkecuali apabila mengimport 28 peratus gas dari Teluk.


Singapura pula mengimport kira-kira 17 peratus gas dari Teluk dengan hampir satu perempat import gas asli dari Qatar berikutan kebergantungan Singapura kepada bahan berkenaan untuk menampung 95 peratus keperluan penjanaan tenaga elektrik.


Selain minyak dan gas, Maybank IB turut menekankan Teluk Parsi sebagai sumber utama global bagi beberapa komoditi kritikal yang menjadi sumber langsung kepada rantaian bekalan petrokimia, perlombongan, pembinaan, pengangkutan serta pertanian.


Thailand amat bergantung kepada baja nitrogen dari sumber Teluk dengan Arab Saudi menjadi pembekal terbesar, malah 67 peratus daripada import bahan itu disumbangkan oleh negara Teluk (setakat 2024).


"Jumlah lebih besar iaitu 74 peratus baja urea (sebahagian besarnya digunakan dalam baja nitrogen) adalah dari sumber negara Teluk. Negara-negara lain ASEAN tidak banyak bergantung kepada baja nitrogen dari rantau Timur Tengah seperti Filipina hanya 10 peratus manakala Malaysia tujuh peratus," menurut Maybank IB. -Bernama

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page