- nabalunews
AKTIVITI MENYELAM KINI DIBENARKAN DI SABAH

30 November 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Aktiviti menyelam (scuba diving) di negeri ini kini dibenarkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khusus yang akan dikeluarkan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, SOP khusus bagi aktiviti menyelam akan dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri membenarkan aktiviti menyelam di Sabah.
“Justifikasi cadangan ini adalah kerana aktiviti menyelam dikategorikan sebagai aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, aktiviti menyelam boleh dilaksanakan dengan syarat bot yang membawa penyelam ke lokasi selaman tidak melebihi 30 peratus daripada muatan bot bagi memastikan ada penjarakan fizikal.