top of page

Aktiviti pengorekan pasir Sungai Kadamaian perlu fokus mitigasi banjir

  • nabalunews
  • 40 minutes ago
  • 1 min read

23 Januari 2026


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari menegaskan sebarang aktiviti pengorekan pasir dan batu di Sungai Kadamaian, di sini, perlu dihadkan khusus bagi tujuan pengurangan risiko banjir.


Menurutnya, aktiviti pengorekan pasir dan batu yang tidak mendapat kebenaran serta tidak mematuhi prosedur operasi piawai (SOP) bukan sahaja bertentangan dengan matlamat pengurangan risiko banjir, malah turut mengundang liabiliti pelbagai pihak.


"Saya telah meminta pihak berwajib agar tidak membenarkan sebarang aktiviti di luar daripada konteks pengurangan risiko banjir pasca gempa bumi 2015 di sepanjang sungai Kota Belud," katanya.


Beliau berkata demikian selepas sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan berhubung isu pengorekan pasir dan batu di sepanjang Sungai Kadamaian, baru-baru ini.


Mohd Arsad turut memaklumkan setakat ini hanya Qhazanah Sabah, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, dibenarkan beroperasi secara sah kerana mematuhi SOP yang ditetapkan.


Dalam pada itu, katanya pelaksanaan usaha mitigasi banjir yang konsisten telah menunjukkan penurunan ketara kekerapan banjir, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan dan DUN Tempasuk.


"Namun, usaha ini perlu konsisten memandangkan keadaan sungai sering mengalami 'replenishment' iaitu pengisian semula pasir di kawasan sungai setiap kali hujan turun di Gunung Kinabalu, menyebabkan sungai menjadi cetek semula," ujarnya.


Mengulas mengenai muara Sungai Kuala Abai, beliau berkata permohonan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mendapatkan peruntukan Persekutuan bagi kerja-kerja mendalamkan muara sungai itu setakat ini masih belum berjaya.


Menurutnya lagi, JPS akan mengemukakan semula permohonan peruntukan bagi tujuan tersebut.


"Saya akan terus memantau situasi ini dari semasa ke semasa kerana suara rakyat dan kepentingan awam perlu diberi perhatian," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page