Alangkah baiknya ketidakpuashatian TKM-TKM Sabah diterjemah dalam resolusi DUN Sabah - EwonAlangkah baiknya ketidakpuashatian TKM-TKM Sabah diterjemah dalam resolusi DUN Sabah - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Alangkah baiknya ketidakpuashatian TKM-TKM Sabah diterjemah dalam resolusi DUN Sabah - Ewon


6 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick hari ini mengusik dua Timbalan Ketua Menteri Sabah mengenai ketidakpuashatian mereka terhadap Belanjawan Persekutuan 2022 berkaitan peruntukan yang disalurkan untuk pembangunan Sabah.


“Timbalan-Timbalan Ketua Menteri (Datuk Bung Moktar dan Datuk Jeffrey Kitingan) menyuarakan ketidakpuashatian mereka terhadap Belanjawan Persekutuan 2022 untuk Sabah. Alangkah baiknya ketidakpuashatian itu diterjemahkan dalam bentuk resolusi Dewan Undangan Negeri (DUN) agar kita menuntut hak kita dengan lebih baik menggunakan platform DUN.


“Kita terkilan selepas diberitahu melalui jawapan di Dewan Rakyat bahawa perolehan projek pembangunan fizikal secara runding terus sepanjang tempoh Darurat, tidak ada langsung yang diberikan kepada Sabah. Kita sudahlah terkebelakang dalam program vaksinasi rakyat dan kemudahan hospital yang tenat sepanjang tempoh Darurat, tetapi langsung tidak diendahkan semasa kita memerlukan perhatian segera kepada keperluan kita di Sabah,” katanya.


Ewon menyatakan demikian semasa membahaskan Belanjawan Sabah 2022 di sidang DUN hari ini.


Kedua-dua Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Bung dan Jeffrey telah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan yang akan disalurkan kepada Sabah dalam Belanjawan Persekutuan 2022.


Terdahulu dalam ucapannya, Ewon mencadangkan agar Kerajaan Sabah tampil dengan belanjawan khas yang benar-benar mencerminkan usaha pemulihan ekonomi melalui pembiayaan hutan-hutan terkumpul Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 112 C&D Perlembagaan Persekutuan.


“Kita boleh menggunakan platform DUN Sabah untuk mewartakan enakmen kita sendiri bagi memungut 40 peratus hasil persekutuan dari Sabah untuk membiayai projek-projek pemulihan khas ekonomi kita seperti yang saya cadangkan iaitu Belanjawan Khas Pasca Covid-19 Sabah.


“Selama ini kita terlalu gentar dan tunduk kepada percaturan Persekutuan. Rasanya masa ini sangat sesuai untuk Persekutuan pula tunduk kepada autoriti Kerajaan Negeri yang boleh diperkasakan melalui DUN ini,” katanya.

bottom of page