Alasan tangguh persidangan Parlimen esok tidak munasabah: MadiusAlasan tangguh persidangan Parlimen esok tidak munasabah: Madius
top of page
  • nabalunews

Alasan tangguh persidangan Parlimen esok tidak munasabah: Madius


1 Ogos 2021


Sebagai Ahli Parlimen Tuaran, saya mengesahkan penerimaan surat dari Setiausaha Dewan Rakyat yang memaklumkan penangguhan Sidang Parlimen Dewan Rakyat. Ini bermakna tidak ada persidangan pada Isnin 2 Ogos 2021 ini.


Walau bagaimana pun saya masih berada di Kuala Lumpur, memandangkan tiket penerbangan balik ke Kota Kinabalu yang sudah ditempah lebih awal adalah pada hari Selasa depan.


Saya mengutuk sekeras kerasnya tindakan penangguhan persidangan ini yang dibuat diatas alasan yang amat tidak munasabah.


Apapun alasan untuk mengelakkan persidangan Dewan, Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan boleh digunakan sekiranya lebih banyak ahli parlimen dari UMNO mencontohi Ahli Parlimen dari Gua Musang yang menggesa Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat telah bertindak memaklumkan Speaker supaya tempat duduknya dipindahkan dari kerusi penyokong kerajaan ke kerusi bebas (sebagai langkah untuk menyatakan tidak lagi menyokong Perdana Menteri).


Jika Sekiranya lebih 10 Ahli Parlimen UMNO bertindak seperti itu, maka itu bererti Perdana Menteri sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen dan dengan itu kerajaan pasti akan jatuh.


Jika ini berlaku, siapa pun kerajaan pemerintah yang akan datang, pucuk kepimpinan harus berusaha membina kestabilan dan mendapatkan kembali keyakinan rakyat sehingga kita dapat mengatasi masalah utama yang dihadapi oleh negara iaitu Pandemik Covid-19, krisis ekonomi dan krisis politik.


Kuncinya adalah kestabilan politik dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Pada pendapat saya, perkara berikut mesti dilakukan oleh pemerintah yang akan datang untuk mewujudkan kestabilan politik dan demi mendapatkan kembali keyakinan rakyat seperti berikut::


Pertama, kerajaan hendaklah memeterai Perjanjian Keyakinan dan Bekalan (CSA) dengan pihak pembangkang. Iaitu mengambil pendekatan kepelbagaian dalam pembahagian tadbir urus.


Kedua, menubuhkan 13 lagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) untuk memantau setiap portfolio kementerian. Ia bertanggungjawab untuk memberi semak dan imbang dalam pembuatan dasar kerajaan.


Ketiga, menjamin kebebasan dan ketelusan awam. Ini untuk memastikan penyertaan organisasi masyarakat sivil (CSO) yang berkesan dalam memberi input pada pembentukan dasar awam.


Keempat, menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Antara Kerajaan Kedua (IGC2.0) yang melibatkan seluruh negeri di negara ini bersama-sama dengan Sabah dan Sarawak untuk pelaksanaan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963. Ini adalah untuk memastikan desentralisasi kuasa daripada kerajaan berpusat kepada kerajaan-kerajaan negeri dan Kerajaan-kerajaan tempatan.


Dengan penuh rendah hati saya berpendapat bahawa Empat Perkara ini sangat penting dalam usaha kita untuk mengatasi jalan buntu serta ketidakstabilan politik yang dihadapi oleh negara kita pada ketika ini.


Oleh itu siapapun yang mengambil alih tampuk pemerintahan selepas ini wajar mempertimbangkan untuk melaksanakan cadangan saya tersebut.


Wilfred Madius Tangau

Ahli Parlimen P170 Tuaran

Presiden UPKO

bottom of page