Alliance Bank Borneo International Marathon 2025 akan berlangsung 11 Mei
- nabalunews
- Mar 2
- 3 min read

1 Mac 2025
KOTA KINABALU: Borneo International Marathon (BIM), larian maraton terbesar di Borneo, mengumumkan edisi 2025 akan menandakan Ulang Tahun ke-15 penganjurannya.
Bagi meraikan peristiwa penting ini, BIM dengan bangganya mengumumkan Alliance Bank sebagai rakan utama penganjuran maraton 2025.
Selain itu, edisi 2025 juga secara rasmi dijenamakan semula sebagai Alliance Bank Borneo International Marathon (ABBIM).
Presiden KRC merangkap Pengarah Perlumbaan BIM, Datuk Dr Heng Aik Cheng berkata, Tahun ini ABBIM menjanjikan penganjuran luar biasa bagi kecergasan, perpaduan dan pelancongan sukan sejajar dengan komitmen lama Kelab Larian Kinabalu (KRC) untuk mempromosikan kehidupan sihat, penglibatan masyarakat dan pembangunan mampan.
Katanya, perkongsian dengan Alliance Bank menekankan dedikasi KRC untuk mencipta acara bertaraf dunia yang menyatukan orang ramai sambil meningkatkan reputasi Sabah yang semakin meningkat sebagai hab pelancongan sukan.
"Kami amat berbangga meraikan 15 tahun Maraton Antarabangsa Borneo, pencapaian kejayaan ini mencerminkan dedikasi dan semangat peserta, sukarelawan dan rakan kongsi ABBIM
“Dari permulaan yang sederhana dengan hanya 529 peserta pada 2008 hingga kini menjadi tuan rumah kepada lebih 10,000 peserta, kerja keras dan komitmen selama ini telah memainkan peranan penting dalam menjayakan acara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani perkongsian Ulang Tahun ke-15 Borneo International Marathon 2025 dengan rakan penganjuran Alliance Bank di Hyatt Centric, di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan Alliance Bank, Dr Aaron Sum, dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Sr Lifred Wong.
Menurutnya, perkongsian dengan Alliance Bank menandakan satu langkah besar dalam memartabatkan Borneo International Marathon.
Katanya, sokongan mereka sebagai rakan penganjuran utama untuk edisi 2025 akan meningkatkan pengalaman perlumbaan untuk semua pelari (peserta), sukarelawan dan penonton yang terlibat.
“Komitmen tinggi Alliance Bank untuk mempromosikan kesejahteraan, penglibatan komuniti dan tanggungjawab sosial sejajar dengan dengan matlamat sukan dan ke arah positif KRC.
“Perlumbaan tahun ini bukan saja peristiwa yang tidak dapat dilupakan, tetapi satu peristiwa yang meninggalkan kesan yang berkekalan kepada komuniti dan alam sekitar.
"Kami juga berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kutipan yang dikumpul melalui acara ini akan disumbangkan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan setiap tahun, meneruskan tradisi KRC untuk memberi kembali.
“Setiap peserta, sukarelawan dan penyokong adalah penderma dan wira dalam usaha ini, menyumbang kepada perubahan yang bermakna dan membuat perubahan dalam kehidupan orang lain," katanya.
Alliance Bank Borneo International Marathon 2025 akan berlangsung pada 11 Mei, menampilkan pelbagai kategori perlumbaan termasuk marathon penuh sejauh 42KM, maraton separuh 21KM, larian 10KM dan kategori amal khas 3KM.
Tahun ini, Kategori Amal 3KM akan menyokong NGO tempatan, dengan penyertaan daripada Special Olympics Sabah, Persatuan Penjagaan Paliatif Kota Kinabalu, dan Persatuan Penjagaan Paliatif Pediatrik Malaysia (MAPPAC), mengukuhkan komitmen KRC untuk memberi kembali dan memacu perubahan positif dalam komuniti.
Ulang Tahun ke-15 Borneo International Marathon adalah bukti usaha berterusan KRC untuk membina acara sukan yang diiktiraf di peringkat global yang menggalakkan kesihatan, keterangkuman dan pembangunan mampan.
Pendaftaran kini dibuka, dan peserta digalakkan untuk mendaftar awal untuk mendapatkan tempat mereka dalam perlumbaan ikonik ini.
Borneo International Maraton 2025 disokong oleh Alliance Bank (rakan utama penganjuran), Lifewater Berhad (rakan air rasmi dan minuman isotonik), Pos Malaysia Berhad (rakan rasmi logistik), dan NB Sports Nutrition (rakan rasmi tenaga gel), yang turut serta membantu dan menyumbang menjayakan acara ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai kategori perlumbaan, pendaftaran dan peluang penajaan, sila layari www.borneomarathon.com.
Comentarios