top of page

Allison Sokong Cadangan Ewon Utamakan Anak Sabah dalam Pengajian Perubatan di UMS

nabalunews
5 days ago
2 min read

16 Oktober 2026


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Generasi Muda UPKO Pusat, Allison Chan, menyokong penuh cadangan Presiden UPKO merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, supaya peluang pengajian perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dikhususkkan kepada anak-anak Sabah sebagai langkah jangka panjang menangani kekurangan pegawai perubatan di negeri ini.


Beliau berkata, cadangan yang dibangkitkan Ewon ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat itu wajar diberikan pertimbangan serius dan keutamaan bagi memastikan Sabah mempunyai tenaga kerja perubatan tempatan yang mencukupi dan mampan.


Katanya, keperluan itu semakin mendesak berdasarkan data yang dibentangkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, di Dewan Rakyat pada 8 Oktober lalu.


“Daripada 528 pegawai perubatan yang ditawarkan penempatan tetap di Sabah, hanya 336 orang melapor diri, manakala 192 orang tidak melapor diri sehingga tamat tempoh yang ditetapkan pada 7 Oktober 2026.


“Ini bermakna kira-kira 36.4 peratus daripada jumlah pegawai perubatan yang ditawarkan penempatan tetap di Sabah tidak melapor diri dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Allison berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai keupayaan Sabah membangunkan tenaga kerja perubatan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan rakyat.


Menurutnya, walaupun penempatan doktor dari luar Sabah terus memainkan peranan penting, usaha memperkukuh peluang pendidikan dan pembangunan profesional anak tempatan perlu diberikan perhatian sebagai penyelesaian jangka panjang.


“Menangani cabaran sistem kesihatan di Sabah memerlukan pendekatan jangka panjang yang bermula dengan pendidikan.


“Penyediaan peluang lebih luas kepada anak-anak Sabah untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan amat penting bagi melahirkan dan memperkukuh tenaga kerja perubatan tempatan, di samping meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti,” katanya.


Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan supaya peluang penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 dimanfaatkan bagi membantu anak-anak Sabah mengikuti pengajian perubatan di UMS.


Katanya, melalui mekanisme penajaan bersesuaian, pelajar yang layak boleh diberikan bantuan melanjutkan pengajian, manakala ikatan perkhidmatan selepas tamat pengajian boleh dipertimbangkan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja kesihatan di Sabah.


Bagaimanapun, Allison menegaskan bahawa usaha melahirkan lebih ramai graduan perubatan sahaja tidak menjamin masalah kekurangan doktor dapat diselesaikan sepenuhnya.


Beliau berkata, kerajaan juga perlu memastikan graduan perubatan mempunyai laluan kerjaya yang jelas, peluang melanjutkan pengkhususan serta persekitaran kerja yang kondusif bagi menggalakkan mereka terus berkhidmat di Sabah.


“Kerajaan perlu meneliti faktor yang mempengaruhi kesediaan doktor untuk melapor diri dan meneruskan perkhidmatan di Sabah, termasuk keperluan kemudahan kesihatan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.


“Matlamat kita bukan sahaja melahirkan lebih ramai doktor anak Sabah, tetapi juga membina sistem kesihatan yang mampu menarik, membangunkan dan mengekalkan tenaga profesional.


“Ini penting bagi memastikan rakyat Sabah menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, saksama dan berterusan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page