top of page

Amanah Hasrat Tanding 4 Kerusi

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 1 min read

17 Mei 2025


KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (AMANAH) menyuarakan hasrat untuk bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.


Pengarah Pilihan Raya Nasional AMANAH, Mohd Sani Hamzan berkata, antara kerusi yang cuba ditandingi ialah di Tanjung Aru, Karambunai, Lumadan dan Sulabayan.


Katanya, semua kawasan itu masing-masing berada dalam Parlimen Putatan, Sepanggar, Sipitang dan Semporna.



"Ini kerusi yang kita sasarkan tetapi kesudahannya nanti tertakluk kepada rundingan dengan kepemimpinan Pakatan Harapan(PH) dan rakan gabungan kita nanti.


"Tapi, pada dasarnya empat kerusi itulah yang kita hajati untuk ditandingi pada PRN17 akan datang," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jentera Operasi Pilihan Raya AMANAH Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu.


Sementara itu, Lahirul berkata, rundingan dengan parti komponen PH mengenai kerusi yang diminta parti itu sudah mencapai antara 70 hingga 80 peratus setakat ini.


"Kita sudah bincang dengan PH dan setakat ini sudah selesai antara 70 peratus hingga 80 peratus. Rundingan akan diteruskan selepas selesai pemilihan PKR nanti.


"Selepas itu, kita akan mula bincang dengan Barisan Nasional (BN) berdasarkan kerjasama BN-PH di bawah Kerajaan Perpaduan yang diumumkan baru-baru ini," katanya.


Lahirul berkata, pada ketika ini keahlian parti itu di negeri ini sudah bertambah.


"Kini kita mempunyai 18 kawasan sudah dan saya menjangkakan jumlah kawasan ini akan terus berkembang dalam tempoh beberapa tahun ini.


Katanya, pada PRN depan, AMANAH Sabah akan turun bertanding dengan kekuatan PH keseluruhan sebagai gabungan yang mentadbir negara ini.


Untuk rekod, AMANAH tidak mempunyai wakil di DUN Sabah selepas gagal memenangi sebarang kerusi pada cubaan pertamanya di bawah kerjasama Warisan Plus pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) September 2020.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page