top of page

Amang Seksual: Warga Emas Ditahan

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 1 min read

11 Jun 2025


LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas ditahan selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja di kawasan Perumahan Ladang Kunawai, di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, remaja perempuan berusia 14 tahun terbabit dikatakan pengsan dibelakang rumahnya.


Bagaimanapun, sebaik tersedar, warga emas terbabit dikatakan berada dalam keadaan mencurigakan di atas badan mangsa.


Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau, berkata suspek berusia 62 tahun dikatakan melarikan diri sejurus selepas itu manakala mangsa pula mengadu kejadian berkenaan kepada ibu saudaranya.


Katanya, bertindak atas laporan, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah menahan suspek yang dikenali oleh mangsa.


“Pemeriksaan mendapati lelaki terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, mangsa seterusnya telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk menjalani pemeriksaan lanjut.


“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


“Siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan keadilan kepada mangsa serta tindakan undang-undang yang sewajarnya dikenakan terhadap suspek,” katanya.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page