• nabalunews

AMARAN CUACA WASPADA DI KEBANYAKAN NEGERI SELURUH NEGARA HINGGA ISNIN



28 NOV 2020


KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning di beberapa negeri di seluruh negara.

Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon berkata cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku hingga esok di Kemaman, Terengganu dan beberapa daerah di Pahang iaitu Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin.

Di Sarawak pula hujan lebat dijangka melanda Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu.

“Amaran cuaca waspada turut dikeluarkan di daerah Kudat, Pantai Barat dan pedalaman Sabah serta seluruh Wilayah Persekutuan Labuan yang berkuat kuasa hingga 30 Nov ini.

“Selain itu, amaran cuaca waspada dan hujan lebat dijangka berlaku bermula esok hingga Isnin (30 Nov) membabitkan beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu,’’ katanya dalam kenyataan.

Daerah yang terlibat di Kelantan ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai manakala di Terengganu membabitkan Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Jailan berkata sepanjang tempoh itu, angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Kejadian itu boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan berkenaan, katanya. - Bernama