Enam perhentian keretapi baharu dibina di laluan Stesen Sembulan-Kinarut
- nabalunews
- 56 minutes ago
- 3 min read

22 Ogos 2026
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, enam perhentian kecil kereta api (halt) baharu telah siap dibina di sepanjang laluan Stesen Sembulan-Kinarut sebagai sebahagian usaha memperluaskan akses rakyat kepada perkhidmatan kereta api di negeri ini.
Beliau berkata enam perhentian itu ialah Perhentian Kecil KM7.7, Kepayan, KM8.1, KKIA, Taman Jumbo, Petagas, Bukit Vor, Kg. Lembising, Putatan dan Kem Tentera, Lok Kawi siap dibina awal tahun ini dan dijangka beroperasi pada Oktober ini.
“Setakat ini, enam perhentian kecil telah siap dibina dan terdapat beberapa lagi perhentian yang sedang dalam pertimbangan untuk dibangunkan.
“Penyediaan perhentian-perhentian ini akan memberikan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada masyarakat kerana mereka tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada stesen utama untuk menggunakan perkhidmatan kereta api,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Hari Kereta Api Ke-130 Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS), di Stesen Tanjung Aru, di sini, hari ini.

Ewon berkata, pengguna khususnya penduduk yang tinggal berhampiran laluan kereta api boleh menggunakan perhentian yang lebih dekat dengan kawasan kediaman masing-masing untuk meneruskan perjalanan ke pusat bandar.
Katanya, kemudahan itu juga penting dalam menyediakan alternatif pengangkutan awam kepada rakyat terutama ketika kos penggunaan kenderaan persendirian termasuk harga bahan api menjadi antara cabaran kepada pengguna jalan raya.
“Ini akan menambah akses rakyat kepada perkhidmatan kereta api negeri Sabah. Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengarah dan semua warga kerja Jabatan Keretapi Negeri Sabah kerana melihat keperluan ini dan menyediakan akses yang lebih baik kepada rakyat dengan menambah perhentian di antara Stesen Kinarut dan Sembulan.
“Kita mahu perkhidmatan kereta api lebih mudah diakses, praktikal dan dekat dengan rakyat,” katanya.
Selepas majlis itu, Ewon turut menaiki kereta api ke Kinarut bagi meninjau sendiri perhentian-perhentian baharu yang telah siap dibina di sepanjang laluan berkenaan.

Dalam pada itu, Ewon berkata, beliau juga menantikan hasil kajian cadangan memperluaskan rangkaian perkhidmatan kereta api dari Putatan ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), termasuk kawasan Pelabuhan Sepanggar.
“Saya ingin melihat hasil kajian bagi memperluaskan perkhidmatan kereta api dari Putatan ke KKIP termasuk ke kawasan Pelabuhan Sepanggar yang saya percaya sedang dilaksanakan.
“Mudah-mudahan apabila kajian itu siap dan dibentangkan kepada kementerian atau Kerajaan Negeri, kita boleh melihat hala tuju seterusnya,” katanya.
Beliau berkata, peluasan rangkaian kereta api pada masa hadapan bukan sahaja perlu dilihat dari sudut menyediakan kemudahan pengangkutan kepada rakyat, tetapi juga potensinya dalam menyokong perkembangan sektor perindustrian dan logistik Sabah.
“Saya percaya bukan sahaja rakyat perlu mendapat akses kepada perkhidmatan kereta api, tetapi sektor industri juga boleh memanfaatkannya untuk mengangkut produk dari taman perindustrian ke pelabuhan.

“Pada masa sama, rangkaian kereta api yang lebih luas boleh menghubungkan pusat bandar dengan kawasan perumahan dan kawasan perindustrian dengan lebih baik,” katanya.
Ewon berkata, MINDET akan terus memberikan perhatian kepada usaha memperkasakan sistem pengangkutan awam Sabah kerana sektor itu mempunyai hubungan langsung dengan pembangunan ekonomi, pertumbuhan kawasan bandar, aktiviti perniagaan dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, dengan penambahbaikan berterusan dari segi infrastruktur, tahap perkhidmatan, keselamatan dan kemudahan pengguna, JKNS mampu terus memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi negeri serta menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan mesra rakyat.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Jonnybone Kurum, Timbalan Setiausaha Tetap MINDET Moira David dan Caroline serta Benjamin Jiungan Datuk Ir. Ts. Philemon Lajawai.















Comments