Ewon rasmi Dewan SIB Kg Nahaba bernilai RM200,000
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

21 Ogos 2026
KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick merasmikan Dewan Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kampung Nahaba, Kadamaian bernilai RM200,000, peruntukan Kerajaan Negeri Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu berkata, penyediaan kemudahan seumpama itu penting bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat, khususnya untuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Sempena kunjungan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan keseluruhan RM15,000 kepada Persatuan Pelayanan Wanita, Pelayanan Kanak-Kanak dan Tadika Aman Bahagia.

“Banyak keperluan pembangunan yang perlu kita laksanakan di Kadamaian dan bukan mudah untuk memenuhi semuanya dalam satu masa. Sebab itu, kita mempunyai perancangan dan keutamaan yang jelas.
“Kita mempunyai Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035, dan dokumen ini bukan sekadar satu perancangan tetapi telah menjadi dokumen yang diperakukan kerajaan serta sedang dilaksanakan secara berperingkat.
“Beberapa projek pembangunan berskala besar kini sedang dilaksanakan, termasuk penaiktarafan jalan dan pembinaan jambatan konkrit yang akan menjadi pemboleh ubah penting kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan masyarakat di sini,” katanya ketika berucap merasmikan Dewan SIB Kg.Nahaba, di sini, hari ini.

Dalam soal pemilikan tanah pula, Ewon berkata, banyak kampung di Kadamaian telah mendapat manfaat daripada program pengukuran tanah (Program PANTAS) dan ini akan diteruskan ke kampung-kampung lain di kawasan Kadamaian.
Katanya, pada masa yang sama, pembangunan berskala kecil seperti pembinaan dan penambahbaikan dewan kampung serta kemudahan masyarakat akan terus dilaksanakan mengikut keperluan.
Selepas majlis itu, beliau turut meluangkan masa mengunjungi Gereja Seventh-day Adventist (SDA) Kampung Nahaba bagi meninjau keperluan yang dikemukakan oleh pihak gereja.

Dalam kunjungan itu, Ewon menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian sebanyak RM5,000 bagi membantu membiayai pembinaan tandas tambahan gereja.
Beliau kemudiannya mengunjungi Eko Pelancongan 3V Kampung Nahaba, antara perusahaan pelancongan berasaskan komuniti di Kadamaian.
Katanya, perusahaan itu menunjukkan perkembangan yang baik sejak kunjungan pertamanya ke lokasi itu ketika menjadi Setiausaha Politik di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah.
“Saya gembira melihat perkembangan perusahaan komuniti ini sejak mula berkunjung ke sini dahulu. Usaha seperti ini perlu terus diperkasakan kerana ia bukan sahaja membantu menjana pendapatan komuniti, malah menambah produk pelancongan di Kadamaian,” katanya.
Sempena kunjungan itu, Ewon menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian sebanyak RM5,000 bagi membiayai keperluan perusahaan berkenaan.
Beliau turut bersetuju menyediakan peruntukan tambahan RM10,000 menerusi Tabung Dana Khas Pembangunan Keusahawanan Menteri MINDET bagi menaik taraf kemudahan di perusahaan eko pelancongan itu.















Comments