Amaran debu gunung berapi di Kota Kinabalu FIR
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Amaran debu gunung berapi di Kota Kinabalu FIR

18 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengeluarkan Maklumat Keselamatan (Safety Information) berkenaan Amaran Bahaya Debu Gunung Berapi di Sulawesi Utara, Indonesia yang telah memberi impak kepada operasi penerbangan di Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu.


Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia Dato’ Kapten Norazman Mahmud berkata, maklumat Keselamatan ini dikeluarkan ekoran dari letusan Gunung Ruang, Manado, Sulawesi Utara, Indonesia yang mula meletus pada pukul 9.45 pagi, 16 April 2024.


“Kesan letusan ini telah menyebabkan terbentuknya awan debu yang bergerak menuju ke FIR Kota Kinabalu yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pesawat di ruang udara berkenaan.


“Sehubungan itu, CAAM menyarankan syarikat penerbangan dan pengendali pesawat untuk memantau secara berterusan perkembangan meteorologi, notis serta maklumat-maklumat berkaitan debu gunung berapi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Orang ramai yang terlibat bagi penerbangan melibatkan kawasan berkenaan dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan mengenai perkembangan letusan gunung berapi dan status terkini jadual penerbangan yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan.

bottom of page