top of page
nabalunews

AMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP PEMBUNUH GAJAH PYGMY - KePKAS




24 Jan 2021

RANAU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) mahu tindakan tegas diambil terhadap penjenayah membunuh gajah pygmy, yang ditemukan dengan anggota badannya dipotong dan kulitnya disiat di Tongod baru-baru ini.


Menterinya Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya mahu siasatan terperinci dibuat sehingga membawa kepada penahanan dan tindakan terhadap pembunuh haiwan terbabit.


“Kita minta pihak berwajib mengenal pasti dan membawa mereka (penjenayah) yang terlibat ke muka pengadilan. Ini adalah kesalahan yang serius, kerana yang dianiaya dan dibunuh itu merupakan haiwan yang terpelihara.


“Kita tidak mahu haiwan ini pupus jika kita tidak pelihara. Kementerian saya memandang serius apa jua jenayah terhadap haiwan terpelihara, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 akan diperkemaskan lagi bagi membendung pembunuhan haiwan terpelihara di negeri ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.


Jafry berkata masyarakat, terutamanya di Sabah, perlu menyedari tanggungjawab mereka terhadap memelihara khazanah semula jadi seperti gajah pygmy, serta kepentingan haiwan itu terhadap kepelbagaian biologi dalam kehidupan.


Pada Rabu lepas (20 Jan), bangkai seekor gajah pygmy ditemukan di sebuah ladang sawit dekat Kampung Imbak di Tongod, dipercayai mati empat atau lima hari sebelum bangkainya ditemukan tanpa belalai dan kulitnya disiat, dengan kesan tembakan ditemukan pada kepala haiwan itu.- Bernama


Kommentare


bottom of page