ANAK MUDA DI SABAH DIGALAKKAN SERTAI ASKAR WATANIAH
11 JAN 2021
SEMPORNA: Anak muda di Sabah yang memenuhi semua keperluan minimum fizikal serta akademik ditetapkan, digalakkan menyertai pasukan askar wataniah.
Ketua Cawangan Lojistik (21 Grup Gerak Khas) Markas Garison Mejar Biyazid Reduan berkata golongan belia atau remaja di negeri itu perlu melihat perkara berkenaan, sebagai peluang pekerjaan dan pemula kerjaya.
“Tidak semestinya anggota pasukan itu akan kekal berkhidmat sebagai askar simpanan wataniah semata-mata, kerana mereka yang layak dan menepati syarat berpotensi diserap ke angkatan tetap, tentera darat,” katanya selepas program infak rezeki anjuran Raspand Sdn Bhd di Pulau Bum Bum dekat sini.
Menurutnya, penyertaan sebagai askar wataniah membolehkan sumber kewangan tambahan diperoleh melalui elaun-elaun yang disediakan jika terlibat dalam penugasan.
Biyazid dalam pada itu berkata penyertaan Askar Wataniah secara langsung akan membantu pembentukan sahsiah dan disiplin individu melalui sesi latihan yang dijalani.
“Kepada remaja di luar sana, anda boleh mendaftar di markas rejimen askar wataniah terdekat dan sistem latihan akan dilaksanakan,” katanya.
Raspand Sdn Bhd meneruskan misi tanggungjawab sosial korporat (CSR) memberi bantuan bakul makanan kepada 150 penduduk miskin di Kampung Balimbang, Pulau Bum Bum, dengan kerjasama Markas 21 Gerakhas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Rejimen 516 Askar Wataniah untuk menjayakan misi bantuan berkenaan. – Bernama
Comments