top of page

Ancaman Dadah Cabaran Besar Masyarakat

  • nabalunews
  • 3 days ago
  • 2 min read

ree

2 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Ancaman dadah bukan sekadar isu kesihatan atau jenayah, tetapi merupakan cabaran besar kepada struktur sosial masyarakat, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib.


Beliau berkata, isu itu memberi kesan kepada nilai moral, institusi keluarga dan pembangunan insan, justeru pendekatan menyeluruh membabitkan seluruh lapisan masyarakat amat penting sejajar dengan prinsip Malaysia Madani dan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).


“Penyelesaian kepada masalah ini tidak cukup hanya dengan penguatkuasaan undang-undang. Ia perlu melibatkan pendidikan, pencegahan awal, pemulihan serta integrasi sosial,” katanya dalam ucapan pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Menteri Dalam Negeri sempena lawatan kerja rasmi ke Sabah di sini, hari ini.

ree

Menurut James, Sabah kini mempunyai 35 Pengerusi PEMADAM Daerah yang aktif serta lapan daerah operasi utama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah, meliputi rawatan, pencegahan dan penguatkuasaan.


“Kerjasama antara PEMADAM dan AADK Sabah telah berjaya melahirkan pelbagai program komuniti, pelajar dan institusi yang memberi impak terus kepada kumpulan sasar,” katanya.


Antara program utama yang sedang dilaksanakan ialah Program IMAN (Ilmu, Maju, Aktif, Nekad) yang menyasarkan pembinaan jati diri dan kepimpinan belia melalui pendekatan kesedaran dan pendidikan, selain Program BIJAK (Bina Jati Diri Anak Kita) untuk pelajar sekolah dengan penekanan kepada daya tahan psikososial dan nilai sahsiah positif.

ree

Turut dilaksanakan ialah Program TABAH & DAMAI, yang memfokuskan kepada intervensi psikososial dan hubungan kekeluargaan bagi belia berisiko tinggi serta ibu bapa, manakala Program Raya PUSPEN Papar pula memberi sokongan moral kepada klien rawatan sebagai simbol integrasi semula ke dalam masyarakat.


James berkata kerajaan negeri menerusi KPMKR akan terus menyokong dasar dan program pencegahan dadah termasuk Program Pemerkasaan Keluarga (PPK), perluasan fungsi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) serta pembangunan sukarelawan komuniti.


“Kita ingin melihat Sabah bebas daripada ancaman dadah dengan membentuk masyarakat yang berilmu, sihat, berdaya tahan dan penyayang,” katanya.

ree

Menurut beliau, usaha memerangi dadah tidak boleh digerakkan oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk AADK, PEMADAM, KPMKR, NGO, sekolah, IPT, keluarga dan komuniti.


Tambahnya, AADK turut melaksanakan strategi pencegahan bersepadu termasuk penubuhan Skuad Antidadah di daerah kecil serta program Tempat Kerja Bebas Dadah bagi sektor awam dan swasta.


“Dadah adalah musuh nombor satu negara. Ia krisis sosial dan kemanusiaan yang memberi kesan kepada generasi masa depan. Semua pihak mesti berganding bahu bagi memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam agenda pembinaan masyarakat bebas dadah,” katanya.


James yang juga Pengerusi PEMADAM Negeri Sabah turut menegaskan kepentingan pendidikan awal dan program pemerkasaan keluarga sebagai langkah mencegah penagihan dadah serta menyeru masyarakat agar memberi sokongan kepada bekas penagih dengan peluang, bukan stigma.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page