Ewon Salur Sumbangan Kepada Talawa FC Kota Belud
- nabalunews
- Aug 5, 2025
- 1 min read

5 Ogos 2025
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, telah menyampaikan sumbangan kewangan kepada Kelab Bola Sepak Talawa (Talawa FC) bagi menyokong penyertaan kelab tersebut dalam Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun dan Ke Bawah (JW KK Grassroot Day) 9 Sebelah Tahun 2025.
Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Juin Kolod, yang mewakili Ewon, kepada Pengerusi Talawa FC, Alinah Saliun.
Menurut Alinah, sumbangan berkenaan akan digunakan bagi menampung keperluan 30 orang peserta Talawa FC yang telah mengambil bahagian dalam kejohanan bola sepak 9 sebelah yang berlangsung selama dua hari, bermula 2 hingga 3 Ogos lalu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ewon atas keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap pembangunan belia dan sukan di kawasan Kadamaian, yang secara tidak langsung memberi motivasi kepada anak-anak muda untuk terus aktif dalam bidang sukan.
“Pihak kelab amat menghargai sumbangan ini, yang bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah menyuntik semangat kepada para peserta untuk beraksi dengan lebih berkeyakinan dalam kejohanan yang disertai,” ujar beliau.
Sumbangan tersebut mencerminkan kesungguhan kepimpinan dalam memperkukuh pembangunan sukan di peringkat akar umbi. Selain itu, ia juga membuktikan bahawa aspek kesejahteraan komuniti, khususnya dalam pembangunan generasi muda, sentiasa diberi keutamaan oleh pemimpin tempatan.
Ewon, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, sebelum ini pernah menyatakan komitmen untuk terus mendokong usaha-usaha pembangunan sosial, termasuk melalui penglibatan belia dalam aktiviti sukan dan kesukanan.
Melalui sokongan sedemikian, Talawa FC dan kelab-kelab lain di kawasan ini diyakini mampu memainkan peranan penting dalam mencungkil serta membentuk bakat-bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.















Comments