Pengundi Baharu: Anda sepatutnya menyedari masalah ini lebih awal
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pengundi Baharu: Anda sepatutnya menyedari masalah ini lebih awal


Sejak beberapa hari ini kita telah membaca beberapa kenyataan oleh pemimpin PBS, Star, PBRS dan SAPP yang menyatakan kebimbangan mereka terhadap peningkatan mendadak pengundi baharu di Sabah.


Persoalannya, mengapa mereka hanya mengetengahkan isu ini sekarang? Mereka sepatutnya dapat menjangkakan masalah ini sebelum pelaksanaan Undi-18.


Sebelum pelaksanaan Undi-18, UPKO secara konsisten telah mengetengahkan isu ini dalam beberapa forum dan seminar yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Walaupun UPKO menyokong pelaksanaan Undi-18, namun kami telah berulang kali bertegas dan menekankan keperluan untuk mewujudkan mekanisme bagi mengenal pasti dan menapis mereka yang telah memperoleh Mykad melalui cara yang meragukan dan mempunyai rekod dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja Sabah pada tahun 2012 (RCI 2012) telah mendedahkan bahawa terdapat pendatang tanpa izin (PTI) yang memperoleh Kad Pengenalan Malaysia dan telah pun mengundi dalam beberapa pilihan raya umum.


UPKO bersendirian pada ketika itu dalam mengetengahkan isu ini dan parti seperti PBS, Star, PBRS dan SAPP senyap dan tidak menuntut agar pihak JPN dan SPR memastikan mereka yang akan didaftarkan secara automatik melalui undi-18 adalah rakyat Malaysia tulen. Tambahan pula, parti-parti tersebut adalah sebahagian daripada kerajaan Persekutuan pada waktu itu dan masih lagi sehingga kini.


SPR juga telah menjelaskan dalam beberapa forum bahawa dari segi perundangan, mereka tidak diberi kuasa untuk meneliti dan membersihkan rekod JPN yang akan digunakan untuk pendaftaran secara automatik rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas sebagai pengundi dalam daftar pemilih kerana kuasa tersebut terletak di bawah pihak JPN.


Jelas menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin yang cuba bersuara sekarang ini tidak sedar dan prihatin akan isu ini menyebabkan mereka gagal untuk mengetengahkan dan menangani isu ini pada ketika itu.


Bagaimana mereka boleh mendabik dada mengaku sebagai pemimpin yang memperjuangkan hak Sabah sedangkan mereka sendiri gagal untuk melihat kemungkinan berlakunya masalah seperti kenaikan mendadak pengundi baharu yang meragukan?


UPKO selama ini konsisten dan komited dalam menekankan keperluan untuk mengakui bahawa wujudnya empat kategori masalah pendatang asing di Sabah, iaitu, (i) pendatang tanpa izin, (ii) pelarian, (iii) Orang tanpa kerakyatan dan (iv) mereka yang telah memperoleh kad pengenalan Malaysia dengan cara yang meragukan.


Punca peningkatan mendadak pengundi baharu dalam daftar pemilih kemungkinan besar mempunyai kaitan dengan kategori keempat (iv). Oleh itu, adalah penting bahawa kewujudan setiap kategori harus diakui sebelum penyelesaian yang boleh dilaksanakan dan berkesan dapat diputuskan.


Tidak ada satu penyelesaian yang sesuai untuk semua masalah terutamanya yang telah lama wujud ini. Pengajaran utama untuk semua pemimpin tersebut adalah mereka perlu menerima terlebih dahulu kewujudan empat kategori. Namun persoalannya, adakah mereka akan memahami perbezaannya?



Nelson W Angang

Setiausaha Agung UPKO

bottom of page