Anggota Kabinet perlu pastikan pelaksanaan dasar bergerak pantas – PM
- nabalunews
- 32 minutes ago
- 1 min read

17 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan anggota Kabinet untuk terus berkerja dengan disiplin bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan bergerak dengan pantas.
Menerusi hantaran di media sosial rasminya, Anwar yang juga Menteri Kewangan mahu semua barisan Menteri berkhidmat dengan penuh kerendahan hati serta berintegriti agar penyampaian dasar sampai kepada rakyat tanpa lengah dan sebarang alasan.
Menurut beliau, dasar dan keputusan kerajaan tidak seharusnya bersifat retorik semata-mata, sebaliknya mesti memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat merangkumi semua lapisan masyarakat.

“Ini adalah Kabinet penerus kehendak rakyat yang memikul amanah besar, menuntut tindakan segera, keputusan berani serta keupayaan menterjemah kehendak dan nurani setiap lapisan masyarakat menjadi dasar yang berfungsi dan dirasai, bukan sekadar retorik,” katanya.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Kabinet MADANI sejurus selesai Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan, di Istana Negara hari ini.
Mesyuarat ini merupakan yang pertama bagi barisan Jemaah Menteri Kerajaan MADANI selepas pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri semalam.
Rombakan tersebut melibatkan 28 menteri dan timbalan Menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu sebagai langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.














