• nabalunews

ANGGOTA PGA CEDERA TERKENA TEMBAKAN DI BUKIT KAYU HITAM


25 NOV 2020


ALOR SETAR: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera ringan selepas terkena tembakan ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, petang tadi.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.15 petang semasa anggota PGA itu sedang menjalankan rondaan bersama seorang anggota lain di kawasan berkenaan.

"Anggota berkenaan yang memakai baju kalis peluru ketika itu tiba-tiba berasa pedih di bahagian perut. Dia kemudian memeriksa bahagian perutnya dan mendapati terdapat kesan bulatan.


"Beliau (mangsa) kemudian melihat ada kelibat manusia di kawasan itu. Kita syak dia ditembak menggunakan senapang angin yang dipercayai datang dari arah negara jiran,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata anggota berkenaan yang berusia 26 tahun telah membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

"Kita akan siasat dan kenakan tindakan tegas terhadap individu yang melepaskan tembakan ke arah anggota penguatkuasa yang sedang menjalankan tugas," katanya.

Kejadian itu adalah yang kedua membabitkan serangan ke atas anggota PGA selepas insiden melibatkan dua anggota pasukan itu berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut, manakala Sarjan Norihan Tari, 39, parah, terkena tembakan. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com