top of page

Anggota tentera sebabkan kematian rakan dalam kemalangan jalanraya dipenjara 6 tahun 8 bulan, denda RM20,000

  • nabalunews
  • Oct 20, 2024
  • 2 min read

20 October 2024


TAWAU: Seorang anggota tentera berpangkat Lans Koperal dijatuhkan hukuman penjara enam tahun lapan bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau, pada Jumaat.selepas didapati bersalah memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian rakan sekerja yang juga rakan baiknya, tahun lalu.


Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Aiman Zahari, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 11 bulan jika gagal membayar denda tersebut, manakala tertuduh turut hilang kelayakan memiliki lesen memandu dalam tempoh lima tahun.


Mahkamah, bagaimanapun, membenarkan permohonan peguambela tertuduh untuk menangguhkan hukuman kerana pihaknya akan memfailkan rayuan serta-merta, namun, wang jaminan yang ditawarkan sebelum ini ditambah RM1, 000.


Muhammad Aiman didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 7 Jalan Apas kira-kira jam 2 pagi pada 16 April 2023 ketika memandu sebuah kenderaan jenis Honda City dan menyebabkan kematian Mohd Asyraf Ibrahim, 26.


Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan didenda tidak kurang RM20, 000 dan tidak lebih RM50, 000, jika sabit kesalahan.


Dalam kejadian itu, tertuduh memandu sebuah kenderaan yang dinaiki bersama empat penumpang lain iaitu dua rakan sekerja termasuk mangsa yang maut dan dua wanita menuju ke Bandar Sri Indah dari sebuah premis hiburan di kawasan Kompleks Fajar.


Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu tertuduh hilang kawalan dan terbabas sendiri kerana dipandu dengan laju sehingga menyebabkan mangsa yang cedera parah  meninggal dunia di Hospital Tawau pada jam 9.42 malam keesokan harinya.


Pada prosiding tersebut, Timbalan Pendakwaraya (TPR) Batrisyia Mohd Khusri tampil mewakili TPR Mohd Syahnidzam Ahmad, manakala, tertuduh diwakili peguam Goldam Hamid.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page