Angin kencang, 100 rumah, 20 kenderaan rosak di Semporna
22 Disember 2024
SEMPORNA: Angin kencang awal pagi tadi menyebabkan lebih 100 rumah penduduk dan 20 kenderaan rosak di tiga perkampungan atas air di daerah ini.
Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.21 pagi tadi.
Katanya sepasukan 8 pegawai dan anggota dari BBP Semporna dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 2 kilometer dari balai.
Turut berada di tempat kejadian, 6 anggota dari BBP Atas Air, Semporna.
Katanya, setiba pasukan bomba di lokasi, terdapat rumah di 3 perkampungan atas air iaitu Kampung Selamat, Kampung Seri Aman dan Kampung Sejati mengalami kerosakan dan ada rumah yang roboh.
Hasil pemeriksaan bomba mendapati 60 rumah rosak, 8 rumah roboh, sebuah masjid rosak dan lima kenderaan terjejas di Kampung Selamat, Semporna.
Manakala di Kampung Seri Aman, Semporna, 10 rumah rosak, sebuah rumah roboh dan 15 kereta terjejas.
Pemeriksaan bomba di Kampung Sejati, Semporna mendapati 22 rumah rosak dan 2 rumah roboh.
Secara keseluruhannya, 103 rumah, 20 kenderaan dan sebuah masjid
terjejas dalam kejadian bencana alam itu.
Turut rosak sebahagian bumbung Masjid Kampung Selamat yang diterbangkan angin kencang.
Menurutnya, kejadian itu juga menyebabkan berlaku litar pintas dan pemantauan dijalankan oleh pasukan bomba dan pihak Sabah Electricity untuk memastikan tiada bahaya lain.
“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
“Operasi pemantauan dijalankan pasukan bomba bersama Sabah Electricity,” katanya.
"Pasukan bomba membuat pemeriksaan di sekitar kawasan perkampungan dan mengarahkan penduduk untuk keluar ke kawasan selamat.
"Pemantauan akan dijalankan secara berterusan di kawasan yang terlibat," katanya.
Comentários