Kebakaran Sandakan: Kerajaan selaras bantuan segera, penempatan sementara
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

19 April 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan akan mempercepat penyelarasan bantuan asas serta penempatan sementara kepada mangsa kebakaran besar di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan keselamatan mangsa terjamin selain bantuan segera dapat disalurkan tanpa kelewatan.
Katanya, Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan Sabah sedang menyelaraskan bantuan asas dan penempatan sementara secepat mungkin kepada semua penduduk terjejas.
“Terkesan tatkala menerima laporan kebakaran yang telah memusnahkan ratusan rumah penduduk kampung.
“Justeru, keutamaan kini adalah keselamatan mangsa serta bantuan segera di lapangan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Awal pagi tadi, kira-kira 200 rumah atas air dilaporkan musnah dalam kebakaran di perkampungan atas air itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan Datuk Walter Kenson yang juga Presiden Majlis Perbandaran Sandakan mengisytiharkan bencana kebakaran susulan kejadian itu.
Sehubungan itu, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan PPR Batu Sapi diaktifkan pada 7 pagi tadi bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri telah menggerakkan semua agensi berkaitan untuk turut menyalurkan bantuan segera dan menjaga kebajikan mangsa.
Katanya, Kerajaan negeri akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan dengan berkesan, termasuk keperluan asas dan tempat perlindungan sementara.











