Anwar: Ahli akademik perlu tanggungjawab kepada agenda pembinaan bangsa
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar: Ahli akademik perlu tanggungjawab kepada agenda pembinaan bangsa


1 Nov 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ahli akademik perlu menebalkan rasa tanggungjawab kepada agenda pembinaan bangsa dan aspirasi nasional, selain daripada mengembangkan ilmu dan penyelidikan dalam bidang atau disiplin yang dikuasai.


Beliau berkata, cabaran dan kekacauan yang wujud pada era dan ketika ini, telah mengakibatkan agenda kemajuan dan kemodenan sering bergelut dengan nilai dan moral yang baik.


Malah, beliau berkata, pegangan dan keterujaan terhadap ilmu dan kesarjanaan juga dilihat turut terhakis secara radikal.


"Ketaasuban dan pemikiran yang sempit, termasuk ideologi yang berpaksikan pada kemewahan material, prinsip yang tidak konsisten, jelas merumitkan keadaan," katanya.


Beliau berkata demikian melalui teks ucapannya sempena Majlis Anugerah Akademik Negara ke-15, yang dibacakan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin di sini, pada Selasa.


Pada malam tersebut, Pakar Penyakit Berjangkit Negara, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara, dan membawa pulang wang tunai RM200,000 beserta trofi dan sijil.


Dalam pada itu, beliau percaya tiada siapa yang lebih layak untuk memicu dan memacu pemugaran nilai yang baik tersebut kepada masyarakat, kalau bukan ahli akademik dan golongan bijak pandai.


"Baik di IPT awam mahupun swasta, politeknik, kolej komuniti, institut latihan perguruan, kolej matrikulasi, institut latihan dan vokasional hatta di mana-mana sahaja, saya melihat ahli-ahli akademik sebagai pemimpin akal masyarakat," katanya.


Beliau juga memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan beliau akan terus memberi dorongan dan dukungan kepada semua IPT dalam usaha meneroka dan mewujudkan bidang-bidang pengajian baharu, termasuk bidang ekonomi, kesejahteraan dan kelestarian.


"Apatah lagi dengan segala kelebihan teknologi dan kerancakan gelombang digital. Saya percaya, semua itu membawa kelebihan dan potensi yang boleh diadun untuk memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara," katanya.


Beliau juga mengingatkan semua pihak bahawa pengembangan dan pelebaran ufuk ilmu mesti menjadi agenda nasional yang kalis politik dan kepentingan diri.


"Membangunkan suatu ekosistem pendidikan tinggi yang bertaraf global harus menjadi usaha berterusan, supaya Malaysia dapat menjadi negara yang mengangkat dan menghormati ilmu," katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page