Anwar bertemu empat pemimpin ASEAN, bincang kerjasama dua hala
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar bertemu empat pemimpin ASEAN, bincang kerjasama dua hala


11 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan dua hala dengan empat pemimpin ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia pada 10 dan 11 Mei 2023.


Pertemuan tersebut membincangkan pelbagai isu berkaitan hubungan dan kerjasama serantau.


Antara pemimpin yang bertemu dengan Anwar ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone dan Perdana Menteri Timor Leste Taur Matan Ruak.


Anwar turut menyampaikan hasrat Malaysia untuk menganjurkan sidang kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada September atau Oktober tahun ini.


Anwar berkata beliau mengulangi sokongan penuh Malaysia kepada permohonan Timor Leste untuk menyertai keluarga ASEAN.


Beliau juga menyatakan keterbukaan Malaysia menerima delegasi Vietnam ke Putrajaya sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.


“Dalam sidang kemuncak kali ini juga, saya sempat mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawat dari Laos, Sonexay Siphandone dan kami sepakat untuk lebih bekerjasama dalam bidang perbankan, program latihan pegawai dan diplomat selain pendidikan serta industri agrikultur,” katanya dalam kenyataan di Facebook.


Anwar juga menekankan bahawa ASEAN mesti meneruskan usaha integrasi serantaunya memandangkan persekitaran global yang semakin bermasalah.


Tambah beliau, gangguan dan kelembapan ekonomi memerlukan ASEAN memanfaatkan kekuatannya dan menggalakkan daya tahan supaya dapat menjana pertumbuhan ekonomi lebih mampan.


Sidang kemuncak ASEAN ke-42 dihadiri oleh lapan ketua kerajaan daripada 10 negara anggota ASEAN. Myanmar tidak dijemput kerana krisis politik yang melanda negara itu manakala Thailand menghadapi pilihan raya pada 14 Mei ini.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page