Anwar dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang Universiti Filipina
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang Universiti Filipina


2 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


MANILA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diberikan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang atau honoris causa oleh Universiti Filipina (UP) dalam majlis yang diadakan di Dewan Villamor universiti di Manila pada hari ini.


Menurut kenyataan universiti itu, Anwar dianugerahkan ijazah kehormat kerana beliau merupakan sarjana yang memiliki kepakaran antarabangsa dalam bidang ekonomi, demokrasi, kebebasan, tadbir urus, Islam dan demokrasi serta keperluan akauntabiliti.


Ijazah kehormat tersebut disampaikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Tinggi Pendidikan Filipina J. Prospero E. De Vera III serta Presiden dan Pengerusi Bersama Lembaga Regen UP Angelo A. Jimenez.


Menurut Naib Canselor Hal Ehwal Awam UP Jose Wendell Capili, Anwar dihormati kerana memiliki prinsip menentang rasuah dan pengurusan terhadap ekonomi Malaysia semasa Krisis Kewangan Asia.


“Perdana Menteri Malaysia menyanjungi kehidupan, karya dan pengajaran Jose Rizal, dan minat Anwar terhadap Rizaliana semakin mendalam setelah kerap mengunjungi UP semasa muda di bawah bimbingan mendiang Prof Emeritus Sejarah Universiti dan Dekan Kolej Seni dan Sains UP Diliman Cesar Adib Majul," kata Naib Canselor Hal Ehwal Awam UP Jose Wendell Capili.


Jelas beliau, Anwar turut menyelamatkan ekonomi Malaysia ketika Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997 dan menerima pujian termasuk Asian of the Year daripada Newsweek International.


Anwar tiba di Manila semalam untuk lawatan rasmi selama dua hari, yang merupakan lawatan rasmi kelima ke negara-negara ASEAN sejak dilantik sebagai perdana menteri akhir tahun lepas.


bottom of page