Anwar gesa kementerian, agensi kerajaan henti anjuran majlis besar-besaran
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar gesa kementerian, agensi kerajaan henti anjuran majlis besar-besaran

23 Disember 2022

Oleh Farah Salim


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kesemua kementerian dan agensi kerajaan untuk menghentikan amalan penganjuran majlis secara besar-besaran termasuk membeli pakaian baharu bagi sesuatu majlis atau program.


Katanya, ini adalah bagi mengelak pembaziran perbelanjaan kerajaan dan sebaliknya menggunakan peruntukan kerjaan untuk membantu golongan yang lebih memerlukan.


"Setiap agensi perlu mengurangkan dan menghentikan pembaziran, (serta) mengurangkan acara yang meriah dan megah.


"Ada jabatan umpamanya, setiap kali majlis atau perayaan, akan ada pakaian baharu, batik baharu dan beberapa persiapan baharu. Saya katakan, kita akan hentikan amalan ini," katanya ketika merasmikan Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.


Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Keusahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha kementerian Dato’ Sri Suriani Ahmad dan ketua-ketua jabatan serta agensi kerajaan.


Menurut Anwar, jika membabitkan pembelian pakaian baharu, ia hanya sepatutnya diedarkan di kalangan kakitangan gred rendah sahaja.


Tambahnya, biarpun tindakannya tidak menerima kereta mewah mahu pun mengambil gaji diremehkan, ia mampu memberi impak kewangan yang besar jika dihimpunkan.


"Ada orang kata perkara kecil... saya tolak (kereta) Mercedes (mereka kata) perkara kecil. Saya tak ambil gaji, perkara kecil.


"Tapi, semua yang kecil ini, termasuk amalan memberikan hadiah kepada pembesar yang datang, tukar batik atau sampin atau pakaian pada setiap majlis, kalau tukar ini semua, saudara, yang kecil-kecil ini bergulung lautnya dan dapat dipulangkan kepada rakyat termiskin," ujarnya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page