top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar gesa pemaju bina lebih banyak rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah


18 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pemaju perumahan untuk meningkatkan pembinaan projek perumahan mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah di kawasan-kawasan bandar.


Beliau berkata, kerajaan komited untuk memastikan rakyat mendapat tempat tinggal yang selesa dan berkualiti, tetapi pemaju perumahan juga perlu memainkan peranan mereka dengan memberi tumpuan kepada kumpulan masyarakat yang memerlukan.


“Bangunan boleh mencakar langit, kondominium-kondominium boleh berskala besar tetapi mesti diimbangi dengan perumahan sederhana dan perumahan rakyat.


“Mesti ada kawasan lapang, hijau kerana yang menjadi penghuni adalah manusia. Jadi kita tidak mahu dia menjadi satu hutan kota maknanya hutan bangunan bukan hijau. Jadi harus adil.


“Bukan semua yang menginap atau menduduki kawasan-kawasan perumahan yang tinggi itu pendapatan tinggi, pekerjanya pendapatan rendah,” katanya dalam ucapan beliau di sini.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Madani Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik Sungai Besi.


Tambah Anwar, sebanyak 1,010 unit rumah mampu milik akan dibina di tapak seluas 3.4 ekar tersebut dengan harga antara RM150,000 hingga RM300,000 setiap unit.


Oleh itu, beliau berharap projek perumahan untuk golongan berpendapatan rendah akan diperbanyakkan pada masa akan datang.


"Saya percaya jika kita semua bekerjasama dengan ikhlas dan jujur, kita akan dapat melihat perubahan yang positif dalam masa yang singkat," katanya.



Comments


bottom of page